Tragedi gempa bumi jadikan pengajaran

Tragedi gempa bumi jadikan pengajaran

KOTA KINABALU, 26 Julai (Bernama) – Tragedi gempa bumi yang melanda Sabah Jun lepas perlu dijadikan pengajaran dan ingatan kepada rakyat untuk mengukuhkan perpaduan sama ada ketika susah mahupun senang.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata ini termasuk dalam menghadapi pelbagai dakyah dan fitnah yang dilemparkan pihak tertentu terhadap kerajaan yang mampu beri kesan terhadap rakyat.

“Sebagai manusia yang bertanggungjawab, kita harus memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan dan menggugat negara.

“Dalam konteks ini…kita tidak boleh sewenang-wenangnya tertarik dengan pro-paganda orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan yang tidak mahu kestabilan negara kita ini berterusan, sedangkan kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan negara ini aman dan terus maju,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini, hari ini.

Pairin, yang juga Presiden PBS berkata, tragedi gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter pada 5 Jun lepas di Gunung Kinabalu yang meragut 18 nyawa telah membuktikan bahawa rakyat negara ini berupaya bersatu dan bersimpati dengan keadaan mangsa yang terlibat.

Beliau turut meminta agar rakyat di negeri ini terus bersatu di bawah kerajaan yang selama ini berjuang untuk kepentingan rakyat.