Tragedi Stadium Heysel tetap dikenang

Tragedi Stadium Heysel tetap dikenang

MILAN, 11 Nov (AFP) – Perlawanan persahabatan antara Belgium dan Itali akan dihentikan pada minit ke-39 ketika nama–nama 39 mangsa bencana Stadium Heysel dibacakan satu demi satu, Jumaat nanti.

Belgium yang mengungguli ranking FIFA pada masa ini, akan menghoskan juara Piala Dunia empat kali itu di stadium King Beaudoin di Brussels.

Ia akan dikira sebagai persediaan bagi Kejuaraan Eropah musim panas seterusnya, tetapi perlawanan itu juga masa bagi kedua-dua pasukan untuk memperingati salah satu bencana stadium terburuk dalam bola sepak pada ulang tahunnya yang ke-30.

Pada 29 Mei 1985, 39 orang – kebanyakannya warga Itali – terbunuh semasa final Piala Eropah di antara Juventus dan Liverpool selepas pergaduhan diantara kumpulan penyokong mencetuskan panik sehingga peminat berhimpit-himpit ke arah dinding yang roboh.

Juventus memenangi perlawanan itu 1-0 menerusi sepakan penalti dari Michel Platini, tetapi kejayaan kelab dari Turin itu telah lama dibayangi kontroversi pemain yang meraikan kemenangan di tengah padang beberapa jam selepas tragedi itu.

Penyokong Liverpool banyak dipersalahkan walaupun ketua polis dan pihak berkuasa setempat juga mengambil bahagian dalam kesalahan itu selepas siasatan dijalankan, yang membawa kepada penggantungan lima tahun bagi kelab Inggeris itu dalam persaingan Eropah.

Juventus musim lalu berada di barisan depan dalam memperingati mangsa–mangsa bencana, beberapa hari sebelum berdepan Barcelona untuk final Liga Juara–Juara di Berlin.

Para peminat mendedahkan pemidang di Stadium Juventus tertera nombor 39, dengan beberapa pemidang lain meminta penyokong untuk tidak melupakan mangsa. Minggu ini, beberapa inisiatif akan diadakan.

Setibanya skuad Itali esok, presiden persekutuan Itali (FIGC), Carlo Tavecchio, wakil dari Juventus dan ahli persatuan perwakilan keluarga mangsa akan meletakkan kalungan bunga di bahagian Z stadium di mana kejadian itu berlaku.