Tragedi terburuk suku abad

Tragedi terburuk suku abad

MINA, Arab Saudi, 25 Sept (AFP) – Kesalahan dialihkan kepada pihak berkuasa Saudi hari ini selepas kejadian rempuhan jemaah haji yang mengorbankan kira-kira 717 orang, dalam tragedi paling buruk pernah berlaku di musim haji tahunan, dalam tempoh suku abad.

Bencana ini, yang juga mengakibatkan beberapa ratus orang tercedera, adalah kemalangan kedua yang mengakibatkan maut yang pernah melanda para jemaah haji bulan ini, selepas kejadian kren tumbang di bandar suci Mekah yang mengorbankan lebih 100 orang.

Di tempat kejadian mayat-mayat bergelimpangan bertindih-tindih dikelilingi barangan milik peribadi yang dibuang dan air botol yang meleper, manakala pekerja penyelamat meletakkan mayat-mayat dalam barisan panjang di atas pengusung.

Kejadian rempuhan berlaku di Mina, kira-kira lima kilometer dari Mekah, ketika para jemaah menunaikan ibadah melontar jamrah.

Perkhidmatan pertahanan awam Saudi berkata ia masih menghitung bilangan yang terbunuh yang termasuklah jemaah haji dari pelbagai negara.

Kakitangan kecemasan Saudi berdiri berhampiran jenazah jemaah haji di tapak tempat 717 terkorban dan ratusan lagi cedera dalam rempuhan di Mina. – AFP
Kakitangan kecemasan Saudi berdiri berhampiran jenazah jemaah haji di tapak tempat 717 terkorban dan ratusan lagi cedera dalam rempuhan di Mina. – AFP

Iran mengumumkan seramai 131 warganegaranya adalah antara mangsa-mangsa itu, dan menuduh kesilapan keselamatan saingan serantaunya, Arab Saudi, sementara para jemaah yang berada di situ menyalahkan pihak berkuasa dan berkata mereka takut untuk meneruskan ibadah agama tahunan ini.

Beberapa negara-negara Afrika dan Afrika Utara mengesahkan kematian rakyat mereka, begitu juga India, Indonesia, Pakistan dan Netherland. Sementara media Maghribi menyatakan warga mereka 87 orang terkorban, dan Turki melaporkan 18 warga mereka dilaporkan hilang.

Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman memerintahkan ‘kajian semula’ ke atas pertubuhan haji, menurut agensi rasmi Media Saudi, manakala Putera Mahkota Mohammed bin Nayyef, yang menjadi pengerusi jawatankuasa haji negara beraja itu, telah memulakan penyiasatan.

Menteri Kesihatan Saudi Khaled al-Falih menyalahkan para jemaah kerana berlakunya tragedi itu, dengan memberitahu televisyen El-Ekhbariya bahawa jika ‘jemaah haji mengikut arahan, jenis kemalangan ini mungkin boleh dielakkan.”

Kejadian rempuhan bermula sekitar pukul 9 pagi sejurus selepas pertahanan awam berkata melalui Twitter bahawa mereka sedang menangani kejadian ‘berasak-asak’ di Mina.

Beratus-ratus ribu orang jemaah berhimpun di Mina untuk melontar batu jamrah pada salah satu dari tiga tembok yang melambangkan Syaitan, bagi ibadah haji utama terakhir, yang berakhir secara rasmi semalam.

Jurucakap Kementerian dalam negeri Jeneral Mansur al-Turki berkata asal kejadian itu berpunca dari ‘apabila bilangan ramai jemaah haji bergerak pada waktu yang sama’ di satu persimpangan dua jalan di Mina.

“Cuaca yang sangat panas dan keletihan para jemaah haji menyumbang kepada bilangan ramai mangsa,” ujarnya. Suhu cuaca di Mina telah mencecah 46 darjah Celsius semalam.