Trak pengebom rempuh hotel

Trak pengebom rempuh hotel

MOGADISHU, 27 Julai (Agensi) – Seorang pengebom nekad yang menaiki sebuah trak yang sarat bahan letupan, merempuh sebuah tembok hotel menyebabkan kerosakan teruk beberapa bangunan di tengah Mogadishu dengan enam terbunuh termasuk seorang diplomat China.

Menteri Luar Somalia, Abdisalam Omer memberitahu Agensi menerusi telefon dari Djibouti, dalam serangan itu seorang diplomat Kenya dilapor turut cedera. Kumpulan rangkaian al-Qaeda, Al-Shabab kemudian mengakui bertanggungjawab dalam serangan itu yang turut mencederakan 20 yang lain.

Hotel Jazeera yang dianggap paling selamat di ibu negara Somalia, sering menjadi tempat kunjungan dan penginapan diplomat, rakyat asing dan ketua negara.

“Ia kejadian yang amat menakutkan, meletupkan Hotel Jazeera membuatkan setiap orang kini berasa tidak lagi selamat di sini,” kata seorang pekerja hotel, Yusuf Mohammed.

Letupan itu menyebabkan sekurang-kurangnya lapan bilik hotel musnah dan saksi memberitahu sekiranya tiada tembok penghalang, kemusnahan hotel dan bangunan bersebelahan akan lebih teruk.

Kawasan perkarangan Hotel Jazeera yang telah dimusnahkan oleh pengebom nekad. – Reuters
Kawasan perkarangan Hotel Jazeera yang telah dimusnahkan oleh pengebom nekad. – Reuters