Transaksi kad kredit Turki berdepan serangan siber

Transaksi kad kredit Turki berdepan serangan siber

ISTANBUL, 25 Dis (Reuters) – Bank-bank Turki melaporkan gangguan sekali-skala pada transaksi kad kredit hari ini ketika penggodam melancarkan serangan siber bertubi-tubi selama dua minggu, dipercayai yang terburuk negara itu telah hadapi.

Media tempatan telah mengatakan bahawa serangan ke atas laman web kewangan dan awam mungkin datangnya dari Rusia, selepas ketegangan memuncak antara Moscow dan Ankara, atau dilakukan oleh kumpulan penggodam Anonymous. Namun belum ada bukti jelas, dan pihak berkuasa mengelak untuk menuduh sembarangan.

Para pegawai di beberapa buah bank Turki termasuk Isbank, Garanti dan pemberi pinjaman negara Bank Ziraat mengesahkan serangan itu, mengatakan ia telah mengakibatkan gangguan berkala. Saham bank tidak terkesan dengan berita itu.

“Serangan itu sangat serius,” kata jurucakap bagi pembekal Internet Turk Telekom, Onur Oz.

“Namun sasarannya bukan Turk Telekom. Sebaliknya, bank-bank dan institut awam yang teruk diserang,” katanya.

“Majoriti institusi-institusi Turki menggunakan Turk Telekom sebagai pembekal perkhidmatan, oleh itu kami adalah satu-satunya perlu melakukan pertahanan ke atas serangan-serangan ini.”

Unit keselamatan siber kerajaan sedang mengambil langkah berjaga-jaga dan insiden itu dapat dikawal, kata Menteri Pengangkutan Binali Yildirim awal minggu ini. Dia tidak memberi komen secara spesifik ke atas bank-bank yang disasarkan, dan kementeriannya tidak dapat dihubungi untuk memberi komen hari ini.

“Serangan ini bermula dua minggu lalu namun semakin menjadi-jadi dua hari lalu,” kata pakar rangkaian dari Universiti Teknikal Istanbul, Burak Atakani.

Menurutnya, pembekal perkhidmatan digunakan oleh beberapa buah universiti, akademi polis dan jabatan penyelidikan tentera juga diserang.

Nic.tr, sebuah badan bukan kerajaan yang mentadbir alamat bagi laman web menggunakan domain ‘tr’ Turki, termasuk menteri-menteri, tentera, bank-bank, dan laman komersial lain, mengatakan awal minggu ini yang serangan itu berasal dari ‘sumber terancang’ di luar Turki.

ARTIKEL YANG SAMA