Transaksi menerusi portal mudah.com dominasi jenayah siber di Pahang

Transaksi menerusi portal mudah.com dominasi jenayah siber di Pahang

KUANTAN, 4 Nov (Bernama) – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang mengesan 423 kes jenayah melibatkan pelbagai jenis penipuan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Fatimah Ghazali berkata, dari jumlah itu, sebanyak 162 kes atau 35.8 peratus adalah penipuan siber yang melibatkan transaksi perniagaan menerusi laman web.

“Kes penipuan transaksi menerusi portal web mudah.com mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 88 kes atau 19.5 peratus berbanding penipuan siber lain termasuk tipu parcel, tipu melalui facebook, aplikasi whatsapp, Instagram, wechat dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Kesedaran Jenayah peringkat Kontinjen Pahang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Kampus Kuantan, di sini Rabu.

Turut hadir, Pengarah Kampus UIA Kuantan, Profesor Datuk Dr Tarik Abd Razak.

Fatimah berkata dalam tempoh yang sama juga sebanyak 35 kes penipuan menyamar diri sebagai penjawat awam seperti PDRM, Kastam dan pegawai agensi kerajaan yang lain.

Dalam pada itu Fatimah berkata kebanyakan mangsa penipuan siber terdiri dari kalangan golongan muda iaitu penuntut universiti dan pelajar sekolah menengah dan kebanyakan dari mangsa yang ditipu melibatkan transaksi barangan seperti telefon bimbit dan alat kosmetik.

Sehubungan dengan itu katanya, pihak PDRM kini mengambil pendekatan secara responsif dan bersepadu bagi membina jalinan untuk meningkatkan hubungan dengan masyarakat bagi membanteras jenayah penipuan dari terus berleluasa. Katanya, program seperti Kesedaran Jenayah yang dijalankan bersama para penuntut dan kakitangan UIA juga satu dari usaha pihak PDRM dalam mematahkan semua peluang penjenayah untuk melakukan jenayah di negeri ini.

ARTIKEL YANG SAMA