Transformasi besar dalam TVET

Transformasi besar dalam TVET

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Negara Brunei Darussalam telah melaksanakan transformasi besar ke atas pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di mana negara meletakkan TVET sebagai sektor pendidikan penting yang menyediakan peluang kepada individu untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka.

Ini supaya mereka dapat menjadi sebahagian daripada tenaga kerja yang menyumbang secara aktif serta pada masa yang sama meningkatkan lagi daya saing industri dan pembangunan ekonomi negara.

Pada masa yang sama, TVET memberikan pilihan baik kepada mereka yang cemerlang dalam kerja-kerja hands-on serta meningkatkan mobiliti sosial dan kerjaya bagi mereka.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom selaku wakil peribadi Menteri Pendidikan membacakan ucapan Yang Berhormat Pehin pada majlis berkenaan.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom selaku wakil peribadi Menteri Pendidikan membacakan ucapan Yang Berhormat Pehin pada majlis berkenaan.

Transformasi itu bertujuan untuk mengubah kedudukan pendidikan teknikal sebagai pilihan di peringkat lepasan menengah yang berupaya untuk menghasilkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri.

Perkara itu dinyatakan dalam ucapan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang dibacakan oleh wakil peribadinya, Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, hari ini.

Program-program yang ditawarkan adalah berpandukan oleh permintaan dan berasaskan kompetensi serta direka untuk memenuhi keperluan pelajar, industri dan negara, tambahnya lagi pada Perasmian Persidangan TVET Antarabangsa 2016 yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa di bawah Pelan Kerja 5 Tahun ASEAN (2016-2020), Brunei akan memainkan peranan utama di bawah sub-goal 4, Menyokong Pembangunan Sektor TVET dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Serantau, terutama dalam memaksimumkan akses kepada TVET bagi pekerjaan dan pembangunan mapan serta mengukuhkan penyelarasan serantau bagi meningkatkan kualiti transformasi TVET menerusi penubuhan rangkaian, kerjasama dan pertukaran sumber dan kakitangan TVET.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan lanjut bahawa dalam melaksanakan matlamat itu, Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam melalui SEAMEO-VOCTECH dengan kerjasama pembekal TVET tempatan dan pelbagai platform serantau akan terus bekerjasama erat untuk mempromosikan inisiatif itu di dalam dan luar Brunei.

Dalam hubungan itu juga, Yang Berhormat Pehin menyeru Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) selaku rakan kongsi tempatan dan pembekal TVET di Brunei untuk menjadi sebuah model serantau dari segi kerjasama industri dalam menyokong program-program TVET.

Mengulas mengenai pentingnya TVET dalam konteks ASEAN, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa TVET memainkan peranan penting bagi mempersiapkan tenaga kerja yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri bukan sahaja di dalam negara tetapi juga bagi rantau ASEAN.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika merasmikan Persidangan TVET Antarabangsa 2016.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika merasmikan Persidangan TVET Antarabangsa 2016.

Peranan penting itu dicerminkan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN di mana pergerakan pekerja serantau akan menjadi kurang terhad dan perkara itu setentunya akan menjadi satu cabaran bagi semua negara anggota ASEAN tetapi pada masa yang sama, ia juga membuka lebih banyak peluang baru bagi pencari kerja dan industri.

Disebabkan oleh mobiliti pekerja-pekerja itu, kualiti kompetensi yang mereka punyai harus dikendalikan dengan baik di mana penggubal dasar TVET mesti memastikan bahawa institusi-institusi mengekalkan standard tinggi bagi latihan yang diperlukan untuk mengekalkan tahap kompetensi yang diperlukan.

ARTIKEL YANG SAMA