Transformer di Gadong terbakar

Transformer di Gadong terbakar

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Satu kebakaran membabitkan sebuah transformer elektrik Stesen Kuasa Gadong II (Gadong Power Station II) berlaku petang ini mengakibatkan gangguan bekalan kuasa elektrik di beberapa buah kawasan di Negara Brunei Darussalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.08 petang dan segera mengerahkan tujuh buah jentera bomba bersama 32 orang anggota dari Cawangan Beribi, Cawangan Bandar Seri Begawan dan Cawangan Rimba ke stesen kuasa di Batu Bersurat itu untuk memadamkan kebakaran.

Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Haji Musa bin Metali, unit transformer yang terjejas itu ialah unit transformer yang menyalurkan kuasa dari turbin gas yang menjana kuasa elektrik untuk disalurkan ke Gadong.

“Transformer yang terbakar itu pada masa ini sedang dalam penyelenggaraan.

“Ia mengandungi 20,000 liter minyak di dalam tangki tersebut turut terbakar. Pada masa ini sistem tersebut telah diasingkan dan tiada lagi perhubungan elektrik dari transformer tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Unit Transformer di Batu Bersurat mengalami kebakaran petang tadi kira-kira jam 3 petang. – Gambar Abdul Hakim Yakof
Unit Transformer di Batu Bersurat mengalami kebakaran petang tadi kira-kira jam 3 petang. – Gambar Abdul Hakim Yakof

pg01_150713_b

Menurut Haji Musa, ekoran kebakaran itu, kuasa elektrik di kawasan Mentiri dan Kampung Rimba turut dipadamkan bagi langkah berjaga-jaga.

“Kami mempunyai kuasa sandaran, selain itu kami juga mempunyai empat buah transformer lainnya dan hanya dua diperlukan untuk menyalurkan kuasa elektrik. Oleh itu, kami mempunyai persediaan pelan luar jangkaan. Unit 25 Megawatt ini dijangka menyalurkan kuasa ke 20,000 rumah di kawasan yang terlibat.

Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kol (B) Dato Seri Paduka Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar yang turut berada di tempat kejadian ditemu bual berkata mereka telah menutup kuasa elektrik di Mall Gadong sebagai langkah berjaga-jaga dan selepas setengah jam kemudian, semua kuasa elektrik pulih seperti biasa.

“Pada masa ini, kami mempunyai kuasa yang mencukupi bagi seluruh Brunei, keperluan kuasa di negara ini hanya memuncak kepada 420 Megawatts dan kami mempunyai lebih dari 700 Megawatts keseluruhan, jadi jangan merasa bimbang.”

ARTIKEL YANG SAMA