Transisi gadis peragawan ke Wanita Pertama AS

Transisi gadis peragawan ke Wanita Pertama AS

BERSTATUS isteri kepada Donald Trump, bakal Presiden Amerika Syarikat ke-45, Melania Trump pasti merasa tempiasnya. Kini wanita berusia 46 tahun itu bukan sekadar isteri kepada bilionair hartanah Amerika Syarikat tetapi bakal Wanita Pertama di negara tersebut. Merupakan seorang bekas model peragaan, Melania atau Melanija Knavs dilahirkan pada 26 April 1970 di Novo Mesto, Slovenia.

Bapanya adalah peniaga kereta, manakala ibunya pereka pakaian kanak-kanak. Beliau dibesarkan di sebuah rumah yang sederhana dengan adiknya. Memulakan kerjaya peragawati pada umur 16 tahun, Melania menandatangani perjanjian dengan sebuah agensi di Milan dua tahun kemudian.

Beliau pernah menyambung pelajaran dalam bidang reka bentuk dan seni bina Universiti Ljubljana, Slovenia namun, menggugurkan pengajiannya selepas setahun untuk mengejar kerjaya sebagai model.

Model

Pada awal kerjayanya, Melania bekerja di Milan dan Paris, sebelum berpindah ke New York pada tahun 1996. Sejak itu, trek kerjayanya sebagai model menjadi lebih stabil. Beliau bekerja dengan jurugambar terkenal seperti Patrick Demarchelier dan Helmut Newton dan mendapat liputan meluas di majalah seperti Harper Bazaar Bulgaria, Vanity Fair Itali, GQ dan Sports Illustrated keluaran pakaian renang.

Selain itu, Melania mempunyai rangkaian perniagaan perhiasan yang berjaya di QVC selain produk penjagaan kulit. Beliau pernah muncul dalam beberapa iklan komersial Aflac yang dianjurkan bersama di The View dan terlibat dalam rancangan realiti NBC suaminya, Celebrity Apprentice.

Pada November lalu, Melania menyampaikan ucapan yang jarang berlaku semasa kempen pilihan raya Presiden dengan menggariskan bahawa melawan pembulian siber adalah keutamaannya jika menjadi Wanita Pertama. – AFP
Pada November lalu, Melania menyampaikan ucapan yang jarang berlaku semasa kempen pilihan raya Presiden dengan menggariskan bahawa melawan pembulian siber adalah keutamaannya jika menjadi Wanita Pertama. – AFP
Pada awal kerjayanya, Melania bekerja di Milan dan Paris, sebelum berpindah ke New York pada tahun 1996. – AFP
Pada awal kerjayanya, Melania bekerja di Milan dan Paris, sebelum berpindah ke New York pada tahun 1996. – AFP

Menjadi salah seorang model yang sedang meningkat naik pada tahun 1998, pertemuan Melania dan Trump berlaku dalam keadaan yang sangat melucukan. Semua sedia maklum bahawa Trump ketika itu sudah dikenali sebagai seorang yang karismatik, kaya dan mungkin sudah biasa mendapat apa yang beliau mahu termasuk nombor telefon gadis cantik.

Namun, apabila bilionair itu cuba untuk mendapatkan nombor telefon Melania dalam sebuah majlis di New York, beliau menolaknya. “Saya tidak sewenang-wenangnya memberi nombor telefon saya kepada orang yang tidak dikenali. Ketika itu, saya memberitahu Trump supaya memberi saya nombor telefonnya dan saya akan menghubunginya,” katanya.

Perkenalan yang disulam selama tujuh tahun akhirnya diikat dengan tali pertunangan pada tahun 2004. Setahun kemudian, pasangan tersebut berkahwin dalam sebuah majlis mewah di kediaman Trump di Florida, Amerika Syarikat.

Kontroversi

Transisinya sebagai seorang model berubah sekelip mata kepada isteri bilionair terkenal dan kini secara automatik menjadi Wanita Pertama di Amerika Syarikat. Dikurniakan seorang cahaya mata, Barron Trump, 10, penampilan Melania dilabelkan persis isteri bekas Presiden Amerika Syarikat yang ke-35, John F. Kennedy, Jackie Kennedy versi moden. Seperti Jackie, Melania juga boleh bertutur dalam empat bahasa iaitu Slovenia, Perancis, Jerman dan Inggeris.

Donad Trump,Melania Trump

Perkenalan yang disulam selama tujuh tahun akhirnya diikat dengan tali pertunangan pada tahun 2004. Setahun kemudian, pasangan tersebut berkahwin dalam sebuah majlis mewah di kediaman Trump di Florida, Amerika Syarikat. – AFP
Perkenalan yang disulam selama tujuh tahun akhirnya diikat dengan tali pertunangan pada tahun 2004. Setahun kemudian, pasangan tersebut berkahwin dalam sebuah majlis mewah di kediaman Trump di Florida, Amerika Syarikat. – AFP

Apabila Trump mengumumkan niatnya untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat, Melania mendapat tempias apabila sejarah hidupnya sepanjang menjadi model didedahkan semula oleh pihak media. Salah satunya adalah imej kontroversinya di dalam majalah GQ British 2000 yang memaparkan beliau berbogel sambil baring di atas selimut bulu. Ia sekali gus menjadikan beliau sebagai isteri presiden pertama yang pernah beraksi bogel di majalah.

Kecaman

Tetapi kontroversi Melania tidak hanya berkisar tentang dunia modelnya. Pada bulan Julai 2016, Melania dikritik kerana melakukan plagiat apabila ucapannya di Konvensyen Kebangsaan Republikan didapati sama dengan ucapan Konvensyen Demokratik Kebangsaan Michelle Obama pada tahun 2008. Kecaman yang diterima nyata tidak melemahkan semangatnya.

Pada November lalu, Melania menyampaikan ucapan yang jarang berlaku semasa kempen pilihan raya Presiden dengan menggariskan bahawa melawan pembulian siber adalah keutamaannya jika menjadi Wanita Pertama. “Kita perlu mengajar nilai-nilai Amerika kepada belia masa kini seperti kebaikan, kejujuran, hormat, kasih sayang, kebajikan, persefahaman dan kerjasama,” jelasnya.

Tampil elegan pada malam pengumuman Presiden baharu Amerika Syarikat, Melania turut menjadi perhatian ramai dan pujian media-media di sana apabila mengenakan jumpsuit putih tanpa lengan dengan potongan serong bahagian atas. Meskipun terpalit dengan pelbagai spekulasi dan kontroversi, Melania dilihat bakal menjadi Wanita Pertama yang menarik perhatian ramai atas penampilannya.

Pada tahun 1999, seorang wartawan di New York bertanya tentang imej yang akan dibawanya jika menjadi Wanita Pertama. Melania menjawab, beliau akan menjadi sangat tradisional seperti Betty Ford atau Jackie Kennedy dan penyokong setia suaminya. Pada awal tahun ini, Melania memberitahu bahawa beliau akan bekerja untuk membantu wanita dan kanak-kanak jika Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat. “Kita berada dalam abad ke-21. Saya akan tampil berbeza berbanding mana-mana Wanita Pertama yang lain,” katanya. – Agensi