Transkrip 3 pegawai FIFA didedahkan

Transkrip 3 pegawai FIFA didedahkan

NEW YORK, 19 April (AFP) – Hakim mahkamah Amerika Syarikat semalam mengeluarkan transkrip pengakuan bersalah tiga pegawai Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) yang dihadapkan atas dakwaan terbabit rasuah membabitkan sejumlah AS$37.5 juta.

Pengakuan itu membabitkan bekas Timbalan Presiden FIFA, Jeffrey Webb, Eksekutif Pemasaran Argentina-Itali, Alejandro Burzaco dan bekas perunding dari Brazil, Jose Margulies yang masing-masing mengaku bersalah terbabit dalam konspirasi pemalsuan dalam talian dan pembersihan wang rasuah.

Sejak operasi cegah rasuah di FIFA dilakukan, pendakwa raya AS mendakwa 40 pegawai badan bola sepak itu termasuk pegawai pemasarannya yang didapati terbabit amalan rasuah dengan masing-masing menerima habuan jutaan dolar sehingga mencetuskan krisis dalam FIFA.

Transkrip pengakuan tiga pegawai berkenaan yang dikeluarkan itu masing-masing mengakui kesal dengan perbuatan itu sambil mengesahkan amalan rasuah dalam FIFA sudah menjadi satu kelaziman.

Ketiga-tiga tertuduh yang membuat pengakuan bersalah di hadapan hakim kini menjalani hukuman tahanan dalam rumah di New York manakala hukuman kesalahan terbabit rasuah akan dilaksanakan bermula Jun depan.

“Saya menyalahguna jawatan saya untuk mengambil rasuah dan wang sagu hati untuk faedah diri sendiri,’’ kata Webb dalam pengakuannya di hadapan hakim atas tujuh dakwaan sepanjang mempertahankan diri dalam sesi perbicaraan bermula 2012-2014.

Dalam satu pengakuan pada 2012, Webb berkata dia pernah dimaklumkan sebuah syarikat pemasaran sukan akan menawarkan “bayaran sampingan” sebagai imbalan kepada satu urusan hak penyiaran perlawanan bola sepak kendalian FIFA.

“Saya percaya tawaran berkenaan adalah tawaran biasa dalam sesuatu perniagaan,’’ katanya kepada hakim.

Webb mengaku menerima rasuah bagi satu urus niaga jualan hak penyiaran aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Dunia 2022 serta 2012, 2013 dan 2014, termasuk saingan Copa America Centenario.

Selepas membuat pengakuan itu November lalu, mahkamah meringankan sekatan ke atasnya dan membenarkannya berulang alik dari rumahnya di Georgia tujuh hari seminggu bermula 8 pagi hingga 5 petang untuk menjaga anak lelakinya yang berusia 18 bulan.

Begitupun, kebebasannya terhad dalam lingkungan 32 kilometer persegi sambil memakai alat pengesan elektronik. Sebahagian transkrip pengakuan tiga pegawai itu dikeluarkan kepada umum hasil permintaan media di AS.

Sementara itu, pengakuan Burzaco, 51, yang juga bekas Pengerusi Torneos y Competencias S.A., iaitu sebuah syarikat pemasaran sukan juga mengandungi kenyataan sama.

“Saya bersalah,” katanya yang mengaku membayar sejumlah puluhan juta dolar untuk mendapatkan hak siaran bagi beberapa perlawanan FIFA. “Torneos dan saya mendapat faedah langsung dan tidak langsung daripada perjanjian itu,’’ katanya.

Menurut kertas pertuduhan, Webb dituduh mengamalkan gaya hidup mewah, membeli minuman keras mahal dan mengadakan parti sambil berjudi yang disyaki menggunakan duit rasuah berkenaan.

Setakat ini, 15 individu sudah mengaku bersalah di hadapan hakim dan setuju memberikan kerjasama penuh kepada pendakwa raya AS untuk meringankan hukuman masing-masing.