Transplan tengkorak, kulit kepala pertama di dunia

Transplan tengkorak, kulit kepala pertama di dunia

WASHINGTON, 7 Jun (AFP) – Para doktor Amerika Syarikat memuji satu pembedahan sukar sebagai yang pertama di dunia selepas melakukan pemindahan tengkorak dan kulit kepala ke atas seorang pesakit kanser yang turut menerima ginjal dan pankreas baru ketika prosedur tersebut.

Seorang pembina perisian berusia 55 tahun, James Boysen menjalani pembedahan selama 15 jam itu yang dibantu oleh 50 profesional perubatan, menurut Pusat Kanser MD Anderson di Houston kelmarin. Menurutnya, pembedahan bersejarah itu menjadikan Bosyen sebagai pesakit pertama menerima transplan tisu tengkorak dan kulit kepala bersama pemindahan organ pe­pejal.

Pembedahan itu yang dilakukan di Hospital Methodist Houston dicadangkan hampir empat tahun lalu tetapi hanya dilakukan pada 22 Mei lepas, sekitar 20 jam selepas doktor-doktor diberitahu bahawa organ yang diperlukan sudah tersedia.

“Pembedahan ini amat kompleks kerana kami terpaksa memindahkan tisu manusia menggunakan teknik pembedahan mikro,” kata ketua pasukan bedah plastik Hospital Methodist Houston, Michael Klebuc.

Boysen selepas menjalani pembedahan selama 15 jam di Pusat Kanser MD Anderson di Houston. – AFP
Boysen selepas menjalani pembedahan selama 15 jam di Pusat Kanser MD Anderson di Houston. – AFP

“Kami menghubungkan salur darah bersaiz 1.5 milimeter di bawah mikroskop menggunakan benang halus berukuran separuh diameter rambut manusia dengan perkakasan yang digunakan untuk membuat jam ta­ngan Swiss terbaik,” tambahnya.

Boysen yang merupakan penduduk Austin menghidap leiomyosarcoma, sejenis kanser yang menyerang otot manusia di kulit kepalanya pada 2006.