Trauma Russ berterusan

Trauma Russ berterusan

BERLIN, 20 Mei (AFP) – Pemain Eintracht Frankfurt, Marco Russ, melengkapkan trauma dalam tempoh 24 jam dengan menjaringkan gol ke gawang sendiri ketika aksi play-off Bundesliga yang beraksi seri 1-1 dengan Nuremberg, semalam – sehari selepas mengetahui dia mempunyai tumor.

Pertahanan tengah berusia 30 tahun itu hanya mengetahui dia mempunyai tumor pada Rabu lalu selepas ujian terhadap hormon HCG yang juga ujian dadah rutin mendapati ia berada pada paras tidak normal.

Selepas mengunjungi pakar urologi, Russ yang juga kapten pasukan Eintracht mendapati diagnosis mengatakan dia mempunyai ‘tumor yang teruk’ namun menegaskan akan terus mengemudi pasukannya mengelak penyingkiran ke liga bawahan Jerman bertemu Nuremberg.

Begitupun, lokasi di mana tumor itu berada tidak didedahkan. Di sebalik dominasi yang ditampilkan Frankfurt, Russ memberikan Nuremberg gol pendahuluan pada aksi di Commerzbank Arena selepas menampan bola ke gawangnya sendiri sejurus sebelum rehat babak pertama.

Marco Russ (tengah) menjaringkan gol sendiri ketika menentang Nuremberg dalam aksi Bundesliga Frankfurt, kelmarin. – AP
Marco Russ (tengah) menjaringkan gol sendiri ketika menentang Nuremberg dalam aksi Bundesliga Frankfurt, kelmarin. – AP

Begitupun, mereka kemudian menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah Serbia, Mijat Gacinovic pada awal babak kedua.

Dengan tempat ke saingan Bundesliga musim depan menjadi taruhan, Russ kini tidak akan bermain pada aksi timbal balik di Nuremberg pada Isnin ini selepas menerima dua kad kuning.

Ia adalah kad kuning ke-10 buat Russ sepanjang musim ini. “Ia adalah sesuatu yang mengejutkan kami semua. Ini menunjukkan yang kesihatan adalah segala-galanya dalam kehidupan,” kata penyerang Frankfurt, Alexander Meier.

Russ lahir daripada akademi Frankfurt dan menghabiskan sepanjang kariernya bersama kelab itu selain pernah menghabiskan satu setengah musim bersama VfL Wolfsburg pada Julai 2011 dan Januari 2013.