Tren bawa kimia berbahaya tergelincir

Tren bawa kimia berbahaya tergelincir

WASHINGTON, 6 Julai (AFP) – Lebih 5,000 orang dipindahkan dari kediaman masing-masing selepas sebuah kereta api membawa bahan kimia toksik tergelincir lalu terbakar di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Jurucakap bomba Kermit Easterling berkata, kereta api itu tergelincir menjelang tengah malam Rabu lalu berhampiran Maryville, dekat bandar Knoxville ketika membawa bahan kimia akrilonitril. Bahan itu mudah terbakar dan berbahaya kepada sistem pernafasan manusia.

Media AS melaporkan seramai 25 orang telah dimasukkan ke Hospital Memorial Blount kerana terdedah kepada bahan kimia itu tetapi tiada mangsa yang kritikal.

Anggota-anggota bomba yang memakai topeng pernafasan pergi dari rumah ke rumah untuk memindahkan penduduk ketika api sedang marak, tambah Easterling.

“Mereka yang berada dalam lingkungan 2 kilometer dari lokasi kebakaran diarahkan untuk berpindah,” katanya.

Easterling berkata, sebuah pusat perlindungan Palang Merah dibina di sebuah sekolah tempatan untuk menempatkan penghuni yang berpindah.

Ketika kejadian, tren berkenaan membawa sebanyak 57 gerabak dengan 45 gerabak berisi, manakala 12 lagi kosong.