Trend penghijrahan golongan belia, lepasan siswazah Sabah semakin meningkat

Trend penghijrahan golongan belia, lepasan siswazah Sabah semakin meningkat

TAWAU, 7 Sept (Bernama) – Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Hamisa Samat berkata trend penghijrahan golongan belia dan lepasan siswazah tempatan ke Semenanjung atau ke luar negara meningkat setiap tahun.

Beliau berkata walaupun kerajaan tiada halangan dengan senario tersebut namun semua pihak perlu berfikir mengenai kesannya dari aspek positif dan negatif.

“Punca utama berlaku penghijrahan oleh golongan belia dari negeri ini ke tempat lain adalah kerana desakan mencari pekerjaan demi meningkatkan taraf hidup.

“Namun peluang pekerjaan yang ditawarkan di tempat lain itu juga sebenarnya turut diwujudkan di negeri ini dan masih terdapat banyak kekosongan serta keperluan pekerja dalam bidang yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Memperkasa Modal Insan dan Pameran Latihan Kemahiran Peringkat Daerah Tawau di sini, hari ini.

Pada masa sama Hamisa berkata pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada kumpulan ini bagi menangani masalah pengangguran terutama dalam kalangan lepasan graduan yang semakin meningkat.

“Kerajaan sentiasa peka kepada keperluan golongan ini dan memberi galakan mengikuti pelbagai program dan latihan kerjaya yang memberi manfaat kepada mereka.

“Kerajaan dan pihak swasta juga sentiasa bekerjasama mengadakan program latihan kemahiran teknikal mahupun separa mahir untuk meningkatkan kualiti dan membekalkan tenaga mahir yang kompeten, berdaya saing dan mampan,” katanya.