Trend remaja cederakan diri meningkat

Trend remaja cederakan diri meningkat

SINGAPURA, 28 Dis – Lebih ramai remaja mengelar tangan atau kaki mereka dalam usaha menghadapi tekanan emosi atau kekecewaan.

Trend mencederakan diri sendiri juga kian bertambah dalam kalangan kanak-kanak lebih muda dan budak lelaki, menurut data baru daripada Persatuan Kanak-kanak Singapura.

Seramai 50 remaja melaporkan mencederakan diri tahun lalu, bertambah daripada 44 pada 2013 dan 36 sedekad lalu.

Peratusan remaja berumur 14 dan ke bawah yang melakukannya ialah 66 peratus pada 2013 dan 60 peratus tahun lalu, berbanding 56 peratus pada 2005.

Tahun lalu, 36 peratus daripada mereka yang mencederakan diri sendiri adalah kanak-kanak lelaki, meningkat daripada 28 peratus pada 2005.

Sementara itu, Persatuan Samaritana Singapura (SOS) menyaksikan lebih ramai orang menghubungi hotline dan e-melnya berhubung tindakan mencederakan diri sendiri, walaupun ia tidak menyimpan rekod jumlah kes kerana nama pemanggil kekal tidak diketahui.

Tahun lalu, kira-kira separuh daripada mereka di bawah 30 yang menggunakan perkhidmatan E-mel Berkawan SOS mengaku sengaja mencederakan diri sendiri.

SOS menerima 6,000 e-mel tahun lalu, bertambah daripada 5,000 pada 2012.

Petrine Lim, pekerja sosial utama di Pusat Keluarga Fei Yue (Yew Tee), berkata orang muda yang mencederakan diri sendiri lebih bersedia tampil mendapatkan bantuan, walaupun pusat itu tidak merekod bilangannya, lapor akhbar The Straits Times hari ini.

“Yang menggalakkan ialah ibu bapa kini lebih sedar dan menghampiri pusat ini untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Pusat itu sedang mengendalikan kira-kira lima kes mencederakan diri sendiri.

Dr Ian Gordon Munt, perunding di Jabatan Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Psikiatri Institut Kesihatan Mental (IMH), pula berkata bilangan kes itu mungkin tidak menunjukkan keadaan sebenar kerana “majoriti anak muda yang melukakan diri sendiri melakukannya secara rahsia dan kebanyakan mereka tidak menampilkan diri”.

“Terdapat laporan bahawa mereka yang sengaja mengelar diri sendiari kini lebih muda, mungkin kerana tekanan yang semakin meningkat ke atas anak-anak muda yang lebih peka dengan trend melalui media sosial,” ujarnya. – The Straits Times

ARTIKEL YANG SAMA