Trend terbaru ‘Kiub bergerak’

Trend terbaru ‘Kiub bergerak’

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 29 Dis – Perniagaan kiub stor yang mula diperkenalkan di negara ini sejak awal tahun lalu semakin mendapat perhatian orang ramai sehingga ke hari ini.

Perniagaan tersebut yang menjual pelbagai barangan seperti makanan, pakaian sehinggalah kepada barangan elektrik dan produk kosmetik merupakan perniagaan yang paling hangat dan mudah untuk dilakukan oleh semua orang.

Namun bagi Awang Mohd Annafi bin Mohd Hashim, memandangkan perniagaan dalam bentuk kiub tersebut sudah begitu sinonim dan mudah didapati di merata tempat, beliau akhirnya mengambil alternatif lain untuk melakukan sesuatu yang berlainan dengan memperkenalkan kiub stor bergerak atau ‘Kiub Mobil’.

Perkhidmatan Kiub Mobil yang pertama di Daerah Belait dan berkemungkinan juga yang pertama di Brunei itu menawarkan pelbagai barangan makanan yang dijual oleh para peniaga yang mendaftar di bawah jenama kiub beliau sendiri iaitu ‘Awira Kitchen’.

Kiub Mobil bergerak pertama di Daerah Belait.
Kiub Mobil bergerak pertama di Daerah Belait.
Kiub Mobil yang beroperasi di salah satu kawasan syarikat swasta di Kuala Belait.
Kiub Mobil yang beroperasi di salah satu kawasan syarikat swasta di Kuala Belait.

Kiub tersebut menyediakan perkhidmatan penjualan makanan dengan menggunakan kereta dan dijual kepada orang ramai di tempat-tempat seperti jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan juga di kawasan-kawasan perumahan yang berhampiran.

Awang Mohd Annafi semasa ditemubual oleh Media Permata menceritakan bagaimana tercetusnya idea beliau untuk mencari alternatif yang lebih baik bagi mengembangkan perniagaannya dalam bentuk kiub, memandangkan pada ketika ini begitu banyak peniaga yang menjalankan perniagaan kiub di daerah tersebut.

“Awira’s Kitchen sudah lama menyediakan perkhidmatan kiub dengan memperkenalkan ‘Rent-A-Basket’ semasa ‘Awira’s Kitchen’ mula-mula dibuka, namun kerana permintaan serta sambutan yang kurang baik, tidak ramai yang menggunakan perkhidmatan tersebut,” kata pengusaha Awira’s Kitchen itu.

Tetapi dengan penerimaan sambutan yang baik melalui perkhidmatannya yang lain iaitu ‘Tea-Car Services’, di mana ‘Awira’s Kitchen’ menyediakan makanan sarapan ringan atau minum petang kepada jabatan kerajaan, syarikat swasta dan kawasan-kawasan perumahan, beliau memperolehi idea untuk membantu peniaga-peniaga kecil menjual barangan produk makanan mereka kepada orang ramai menggunakan cara tersebut.

“Dengan adanya perkhidmatan ini, kami percaya Awira’s kitchen dapat membantu menjual barangan produk makanan mereka dengan lebih cepat dan mudah lagi,” tambah beliau. Bermula sejak tiga bulan yang lepas, perkhidmatan itu mendapat sambutan yang sangat baik dalam kalangan peniaga-peniaga kecil dan sehingga hari ini perkhidmatan itu boleh memuatkan sebanyak 10 kiub di dalam kereta yang beliau gunakan.

“Alhamdulillah mereka (penjual) merasa sangat berpuas hati dengan perkhidmatan Kiub Mobil ini kerana melalui cara ini makanan mereka akan dapat dibawa ke merata tempat di daerah ini dan pelanggan juga akan berpuas hati kerana mereka dapat menikmati kepelbagaian juadah yang disediakan oleh Awira’s Kitchen,” jelas Awang Mohd Annafi lagi.

Ditanya mengenai rancangan masa yang akan datang bagi perkhidmatan Kiub Mobil ini, pengusaha tersebut memberitahu bahawa buat masa ini Awira’s Kitchen menumpukan perhatian mereka kepada kawasan di Kuala Belait dahulu dan pada masa yang sama akan cuba menarik lebih ramai lagi penjual-penjual untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

“InshaAllah kalau ada rezeki dan sambutan yang baik lagi kami akan menambahkan perkhidmatan kami merangkumi kawasan Pekan Seria, Lumut dan Sungai Liang juga,” katanya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA