Tribunal PBB bicara kes MH17

Tribunal PBB bicara kes MH17

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 3 Julai (AFP) – Malaysia semalam memberitahu Majlis Keselamatan bahawa ia merancang mengemukakan draf resolusi tidak lama lagi, berhubung membentuk tribunal PBB untuk membicarakan mereka yang bertanggung jawab menembak jatuh pesawat udara Malaysia Airlines di Ukraine.

Kesemua 298 orang penumpang dan anak buah penerbangan MH17 – majoriti mereka warga Belanda – terbunuh – apabila pesawat udara ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lalu.

Duta Malaysia, Ramlan bin Ibrahim berkata draf resolusi itu draf statut cadangan tribunal jenayah antarabangsa akan diedarkan kepada 15 anggota minggu depan, dengan pengundian kemungkinan dibuat bulan ini.

Rusia menghalang idea itu dengan timbalan menteri luar Gennadiy Gatilov berkata cadangan itu “tidak kena pada tempatnya dan tidak produktif”.

Selepas tragedi itu, kecurigaan segera ditujukan kepada kumpulan pemisah pro-Rusia di timur Ukraine yang mungkin telah menggunakan peluru berpandu dari permukaan bumi ke udara yang dibekalkan oleh Rusia untuk menembak jatuh kapal terbang.

Gambar fail bertarikh 17 Julai 2014 menunjukkan sebahagian bangkai pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine. – Reuters
Gambar fail bertarikh 17 Julai 2014 menunjukkan sebahagian bangkai pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine. – Reuters

Didorong oleh tentangan keras sejagat, Majlis Keselamatan pada tahun lalu membentuk resolusi yang menuntut para penjenayah dibawa ke muka pengadilan.

Malaysia bekerjasama dengan Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine – semua anggota Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) – bagi penubuhan Tribunal Antarabangsa.

Duta Malaysia memberitahu majlis itu bahawa mahkamah PBB akan “memberikan tahap kesahan tertinggi bagi perbicaraan dan mekanisme pendakwaan bagi MH17 untuk memastikan para penjenayah di bawa ke muka pengadilan”.

Rusia tidak membangkitkan bantahan selepas Malaysia mengemukakan cadangannya pada mesyuarat Majlis itu, menurut para diplomat.

“Kami merasakan semua anggota majlis termasuklah Rusia terbuka untuk seterusnya membincangkan perkara ini selanjutnya,” kata diplomat Malaysia, Johan Ariff Abdul Razak.

ARTIKEL YANG SAMA