Tribunal timbangtara tuntutan Laut China Selatan keruhkan hubungan

Tribunal timbangtara tuntutan Laut China Selatan keruhkan hubungan

BEIJING, 11 Nov (Reuters) – Menteri Luar China Wang Yi berkata kes Filipina ke atas China di tribunal penimbangtaraan mengenai tuntutan di Laut China Selatan telah menjejas hubungan di antara Beijing dan Manila, dan terpulang kepada Filipina untuk mempertingkat hubungan.

Kes penimbangtaraan ke atas China di the Hague ‘merupakan satu masalah yang telah menghambat pemulihan dan perkembangan hubungan Sino-Filipina,’ satu kenyataan di laman web Kementerian Luar memetik Wang sebagai berkata di Manila.

“Kami tidak mahu masalah ini menjadi semakin rumit, sehingga ia menjadi satu simpulan mati,” beritahu Wang, yang berada di Filipina untuk menghadiri rundingan semalam, kepada wartawan di Manila. “Mengenai cara-cara untuk melonggarkan atau membuka simpulan berkenaan, kami perlu melihat pada Filipina.”

Tuntutan Beijing ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan ditunjukkan di peta China dengan garis sembilan sengkang yang merentasi kawasan laut Asia Tenggara. Vietnam, Filipina, Taiwan, Malaysia dan Brunei juga menuntut sebahagian dari jalan air tersebut.

Selama bertahun-tahun, China telah mendesak perbalahan dengan pihak menuntut dikendalikan secara dua hala.

Dalam satu halangan untuk Beijing, mahkamah penimbangtaraan di Belanda memutuskan pada bulan lalu bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar beberapa tuntutan wilayah yang difailkan oleh Filipina ke atas China mengenai kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

Kerajaan Filipina telah mengalu-alukan keputusan itu dan jabatan Hal Ehwal Luar Negaranya berkata hari ini ia akan meneruskan kes tersebut “sehingga diselesaikan.”

“Tuntutan garisan sembilan sengkang China adalah kebesaran, berlebihan dan tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap hal ehwal luar negara Charles Jose.

“Jika dibiarkan tidak tercabar, kami mungkin kehilangan kira-kira 80 peratus dari zon ekonomi eksklusif kami.”

China telah memulau prosiding perundangan dan menolak kuasa mahkamah dalam kes itu.

ARTIKEL YANG SAMA