Trinidad & Tobago ke suku akhir, Mexico persiakan peluang

Trinidad & Tobago ke suku akhir, Mexico persiakan peluang

PHOENIX, AS, 13 Julai (Reuters) – Mexico mensia-siakan rentetan peluang untuk melangkah ke suku akhir Piala Emas CONCACAF apabila sekadar mencatat keputusan seri 0-0 bertemu Guatemala, hari ini.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C kejohanan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) itu di sini, Trinidad & Tobago berjaya menempah tiket awal hasil kemenangan 2-0 ke atas Cuba.

Dua pasukan terbaik daripada ketiga-tiga kumpulan akan layak automatik ke pusingan seterusnya bersama dua pasukan di kedudukan ketiga terbaik keseluruhan.

Gol-gol Trinidad & Tobago dijaringkan Sheldon Bateau pada minit ke-17 permainan diikuti jaringan Andre Boucaud, tiga minit sebelum babak pertama berakhir.

Molina (3) dari Cuba cuba melepasi saingan Kenwyne Jones (9) dari Trinidad & Tobago dalam aksi Piala Emas di Stadium Universiti Phoenix di Arizona semalam. – AFP
Molina (3) dari Cuba cuba melepasi saingan Kenwyne Jones (9) dari Trinidad & Tobago dalam aksi Piala Emas di Stadium Universiti Phoenix di Arizona semalam. – AFP

Kemenangan menyaksikan Trinidad & Tobago layak ke suku akhir sekalipun masih berbaki satu perlawanan.

Lawan mereka pada perlawanan terakhir Kumpulan C ialah juara Olimpik 2012 London, Mexico yang memerlukan sekurang-kurangnya seri untuk mara.

Dianggap antara pilihan juara, Mexico memperoleh rentetan peluang untuk menewaskan Guatemala termasuk menerusi cubaan Giovani Dos Santos namun gagal menerjah gawang.