Trio ‘BBC’ jadi tumpuan ‘El Clasico’

Trio ‘BBC’ jadi tumpuan ‘El Clasico’

MADRID, 20 Nov (Agensi) – Real Madrid menjaringkan purata lima gol musim ini apabila Gareth Bale berada dalam kesebelasan utama bersama Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema.

Esok, bintang Wales itu dijangka kembali memperkuatkan pasukan bersama Ronaldo dan Benzema bagi menghadapi perlawanan ‘El Clasico’ pertama musim ini di Santiago Bernabeu.

Kepulangan Bale daripada kecederaan tiba tepat pada masanya, ketika jurulatih Rafael Benitez memerlukan jentera serangan terbaik dalam usaha mencari kemenangan ke atas musuh tradisi Barcelona dan merampas kembali kedudukan pendahulu Liga Sepanyol.

Bagaimanapun, pertarungan pasti sengit kerana Barcelona juga dijangka bersedia menurunkan trio serangan berbisa, Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar seandainya Messi disahkan cergas sepenuhnya daripada kecederaan.

Walaupun itu yang dinantikan oleh peminat bola sepak seluruh dunia, namun kedudukan Messi hanya akan diputuskan pada hari perlawanan kerana jurulatih Luis Enrique mahu memastikan penye­rang berusia 28 tahun itu benar-benar cergas.

Trio ‘BBC’ Barcelona pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak Sepanyol dalam pertemuan ‘El Clasico’ musim ini. – Reuters
Trio ‘BBC’ Barcelona pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak Sepanyol dalam pertemuan ‘El Clasico’ musim ini. – Reuters

Messi tidak beraksi sejak mengalami kecederaan lutut kiri ketika menumpaskan Las Palmas September lalu.

Bale, 26, pula terlepas perlawanan antarabangsa bersama Wales minggu ini untuk memastikan dia cergas sepenuhnya bagi menghadapi aksi Clasico.

Seandainya diturunkan esok, itu adalah perlawanan pertama bekas bintang Tottenham itu di Bernabeu sejak 17 Oktober, di mana dia hanya beraksi pada babak pertama ketika Real menumpaskan Levante 3-0 sebelum dikeluarkan akibat kecedera­an betis.

Jika Bale, Ronaldo dan Benzema dapat bergandingan, maka peluang Real untuk mengalahkan Barca lebih cerah kerana sentuhan trio berkenaan terbukti amat berbisa ketika mereka meledak enam gol dalam pertemuan menentang Espanyol (La Liga, 12 September) dan menundukkan Shakhtar Donetsk 4-0 dalam aksi Liga Juara-juara 15 September lalu.

Messi pula tidak beraksi sejak mengalami kecederaan lutut kiri ketika menumpaskan Las Palmas, September lalu.

Akhbar Sepanyol, AS melaporkan, penyerang Argentina itu akan menjalani ujian kecergasan hari ini dan bakal diletakkan di bangku simpanan dalam perlawanan menentang Real seandainya dibenarkan beraksi.

“Dia nampak bagus sejak menjalani latihan bersama kami beberapa hari lalu, tetapi kecederaan mampu bertukar menjadi bertambah buruk secara tiba-tiba jika tidak dijaga,” kata Suarez.