Trio ‘BBC’ wira Real – Zidane

Trio ‘BBC’ wira Real – Zidane

MADRID, 21 Mac (AFP) – Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane percaya skuad kendaliannya mampu menyelamatkan musim hambar mereka di laman sendiri dan saingan antarabangsa andai Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Gareth Bale kekal cergas untuk baki perlawanan musim ini.

Ketiga-tiga pemain berkenaan menjaringkan gol pada penampilan pertama mereka bersama selepas dua bulan apabila Real merapatkan jurang 10 mata di belakang pendahulu Liga Sepanyol, Barcelona selepas menewaskan Sevilla 4-0, awal pagi tadi. Real akan bertemu Barcelona pada 2 April ini – sejurus tamat aksi antarabangsa.

“Dengan prestasi yang ditunjukkan pemain, saya sangat berpuas hati. Bermain seperti ini, kami boleh melakukan sesuatu yang hebat.

“Pemain sedar mengenai perkara itu tetapi dalam bola sepak setiap perlawanan berbeza jadi kami perlu bermain dengan intensiti dan komitmen yang sama,” kata Zidane.

Aksi Zidane ketika menyaksikan perlawanan pasukannya menentang Sevilla awal pagi tadi. Real merapatkan jurang 10 mata di belakang pendahulu Liga Sepanyol, Barcelona selepas menewaskan Sevilla 4-0 di stadium Santiago Bernabeu. – Reuters
Aksi Zidane ketika menyaksikan perlawanan pasukannya menentang Sevilla awal pagi tadi. Real merapatkan jurang 10 mata di belakang pendahulu Liga Sepanyol, Barcelona selepas menewaskan Sevilla 4-0 di stadium Santiago Bernabeu. – Reuters

Anak buah Zidane masih mempunyai peluang tinggi untuk merangkul gelaran ke-11 di pentas Eropah selepas seri dengan Wolfsburg dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, tugasan pertama mereka dalam masa terdekat ini adalah menamatkan rekod tanpa kalah Barcelona dalam 39 perlawanan untuk semua kejohanan sekali gus terus memberi tekanan kepada juara Eropah itu hingga hujung musim ini.

“Ia akan menjadi perlawanan yang istimewa kerana Real dan Barcelona adalah pasukan yang istimewa.

“Kini, kami berpeluang untuk terus mengekalkan rentak cemerlang berdasarkan apa yang kami lakukan sekarang. Kami sudah bersedia sepenuhnya. “Ia adalah perlawanan besar, perlawanan membabitkan dua pasukan hebat,” kata Zidane.

ARTIKEL YANG SAMA