Trio ‘MCN’ ratah Celtic

GLASGOW, 13 Sept – Neymar, Kylian Mbappe dan Edinson Cavani masing-masing menjaringkan gol buat Paris Saint-Germain (PSG) ketika mereka membelasah Celtic 5-0, dalam aksi pertama Liga Juara-Juara di Glasgow, awal pagi tadi.

Gandingan trio MCN – Mbappe, Neymar dan Cavani membuktikan tahap keserasian yang tinggi dan kini dianggap antara trio terbaik pernah dimiliki pasukan dari Perancis berkenaan.

Neymar membuktikan nilai perpindahan tertinggi dunia yang dibayar PSG ke atasnya sebagai satu pelaburan berbaloi ketika menjaringkan gol pertama seawal minit ke-19, juga gol kelima dalam lima penampilan bersama kelab Perancis itu.

Lima minit sebelum babak pertama berakhir, Cavani menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Celtic dalam keadaan tekanan bagi memulakan separuh masa kedua.

Bersambung di babak kedua, giliran Mbappe mempamerkan sentuhan berbisa untuk pasukan baharunya apabila menyumbangkan gol ketiga PSG.

Trio ‘MCN’ meraikan gol pembukaan Neymar ketika menentang Celtic di Glasgow, Scotland kelmarin. – AFP

Tekanan berterusan PSG menyaksikan Mikael Lustig tertampan ke gawang sendiri untuk menghadiahkan gol keempat PSG pada minit ke-84, sebelum Cavani melengkapkan sengsara juara Scotland itu melakukan tandukan, dua minit selepas itu.

“Perkara paling sukar di sini adalah untuk mengatasi rentak dan keupayaan pasukan lawan terutamanya daripada segi sokongan peminat,” kata pengendali PSG, Unai Emery.

“Saya merasakan pasukan saya menunjukkan karakter sebenar. Ini adalah usaha sebenar kami dan mereka mempamerkan kawalan penuh sepanjang perlawanan. Saya cukup gembira dengan pencapaian ini,” katanya.

Pada perlawanan itu, Celtic turut menempah masalah dengan badan induk bola sepak Eropah, UEFA apabila terdapat penyokong mereka memasuki padang untuk menyerang Mbappe.

“Daripada segi bertahan, kami masih lagi jauh berbanding mereka dan keduanya, saya kecewa dengan cara kami mengawal bola apabila gagal mengekalkan penguasaan dalam tempoh lebih lama.

“Jika kamu gagal melakukannya ketika menentang pasukan yang dianggap terbaik dunia ketika ini, mereka akan menghukum kamu,” kata pengendali Celtic, Brendan Rodgers.

Kemenangan besar itu meletakkan PSG di tangga teratas Kumpulan B, selepas hanya dibezakan melalui perbezaan jaringan dengan Bayern Munich, yang menewaskan Anderlecht, 3-0. – AFP