Trio MSN bakal gegar Arsenal

Trio MSN bakal gegar Arsenal

LONDON, 23 Feb (Agensi) – Trio serangan Barcelona, Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar (MSN) bersedia untuk mempamerkan sentuhan ‘magis’ mereka apabila bertemu Arsenal dalam aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, awal pagi esok.

Ketiga-tiga pemain itu berkongsi 81 gol dalam saingan Liga Sepanyol, Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara musim ini dan Barcelona turun sebagai pasukan pilihan untuk mengatasi Arsenal.

Ditanya apa yang dilakukan bagi melatih pemain luar biasa seperti mereka, jurulatih Barcelona, Luis Enrique berkata, “Saya berkata kepada mereka ‘Abracadabra’ dan sihir itu menjadi, itu saja yang saya lakukan”.

Secara serius Enrique menambah, “Ia mudah saja, dalam situasi perlawanan, kamu tidak perlu mengarahkan apa yang mereka perlu lakukan kerana mereka sudah melakukannya.

“Mereka memberi tekanan di bahagian depan bagi mendapat bola daripada pihak lawan dan kami bekerja keras, jadi pemain tengah kami dapat memberikan bola kepada mereka…Ia sesuatu yang menakjubkan mempunyai pemain seperti mereka,” katanya.

Neymar ketika meraikan gol bersama Suarez dan Messi dalam perlawanan yang lalu. Trio serangan Barcelona itu sudah bersedia untuk mempamerkan sentuhan ‘magis’ mereka bertemu Arsenal dalam aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara nanti. – Reuters
Neymar ketika meraikan gol bersama Suarez dan Messi dalam perlawanan yang lalu. Trio serangan Barcelona itu sudah bersedia untuk mempamerkan sentuhan ‘magis’ mereka bertemu Arsenal dalam aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara nanti. – Reuters

Enrique menjangkakan perlawanan yang sengit tetapi menegaskan Barcelona akan tampil dengan corak permainan menyerang selain mengawal bola.

Ia tampak berkesan sebelum ini dengan The Catalan menewaskan Arsenal dalam dua pertemuan pusingan kalah mati termasuk final 2006.

“Saya pernah menyaksikan Arsenal sebelum ini dan juga musim ini. Mereka akan memberi tekanan tinggi kepada kamu tetapi saya harap kami boleh menguasai bola di kawasan mereka dan menerapkan corak permainan kami.

“Sasaran kami adalah untuk memenangi perlawanan tidak kira apa jua berlaku,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA