Tropica Solar cadang buka kilang panel solar

Tropica Solar cadang buka kilang panel solar

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 27 Mac – Syarikat tempatan Tropica Solar Photovoltaic bercadang menghasilkan panel solar pelbagai bentuk dan warna apabila syarikat induk mereka, RAB Global Green membuka kilang pengeluaran di negara ini di bawah Darussalam Entreprise Industrial Site Management di Kampung Serasa dalam masa terdekat.

Menurut Pengarah Syarikat Tropica Solar, Awangku Dani Halim bin Pengiran Abu Bakar ketika ditemui Media Permata hari ini berkata, produk syarikat mereka direka oleh Hunter Hsu dari Taiwan dengan syarikatnya sendiri membuat penyelidikan dan reka bentuk produk berkenaan.

“Apa yang menariknya panel solar yang dicetak dengan pelbagai bentuk menarik ini juga mempunyai pilihan dengan bateri yang boleh dicas semula supaya tenaga daripada cahaya matahari boleh disimpan untuk digunakan kemudian,” beliau menambah.

Hunter Hsu bersama sampel produknya yang akan dipasarkan di negara ini tidak lama lagi.
Hunter Hsu bersama sampel produknya yang akan dipasarkan di negara ini tidak lama lagi.

Produk-produk seperti ini menurut beliau, mempunyai bermacam-macam kegunaan setiap hari seperti mengecas telefon dan boleh juga digunakan untuk menyalakan lampu semasa kecemasan atau ketika rumah terputus kuasa elektrik.

Ketika menyentuh mengenai kilang yang akan dibuka itu, pengarah syarikat Tropica Solar itu menjangkakan sekitar 50 orang diperlukan bagi menyelia pengeluaran dan pembangunan produk tersebut.

Sementara itu, Hunter Hsu ketika menjelaskan hasratnya untuk memperkenalkan produk ini berkata, Brunei yang terletak di khatulistiwa serta penggunaan tenaga solar yang semakin meningkat di Asia Tenggara menambah kepercayaan serta keazamannya untuk membuat pelaburan bersama Syarikat Tropica Solar.

ARTIKEL YANG SAMA