Trudeau mula ambil langkah kanan buat Kanada

OTTAWA, Ontario, 13 Feb – Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan Presiden AS Donald Trump hari ini akan menyertai rundingan meja bulat tentang wanita dalam tenaga kerja, tanda awal kerjasama ketika Trudeau cuba menjalin hubungan baik supaya Kanada tidak menjadi sasaran dalam rundingan perdagangan.

Dalam pertemuan pertama bersemuka dengan presiden AS baru itu, Trudeau akan juga menemui Trump untuk membincangkan tentang perdagangan dan menyertai perbincangan ketika makan tengah hari.

Seorang pegawai Rumah Putih dan seorang pegawai kanan Kanada berkata kedua-dua negara merancang melancarkan pasukan khas baru dipanggil Majlis Kanada Amerika Syarikat bagi Kemajuan Usahawan Wanita-Pemimpin Perniagaan Wanita.

Para pegawai itu bersetuju untuk mengesahkan langkah itu hanya jika identiti mereka tidak didedahkan kerana mereka tidak dibenarkan untuk mendedahkan maklumat itu.

Ivanka Trump, anak perempuan presiden AS yang telah menjadi penyokong bagi dasar-dasar yang memberi manfaat kepada wanita bekerja, terlibat dalam merekrut para peserta dan menetapkan agenda bagi rundingan meja bulat itu.
Eksekutif-eksekutif wanita dari AS dan Kanada dijangka menyertainya.

Kerjasama rapat Trudeau dengan Trump dan anak perempuan pertama boleh melegakan beberapa kebimbangan dikalangan rakyat Kanada bahawa presiden AS akan menggubal langkah bersifat perlindungan yang boleh menjejaskan ekonomi Kanada.

Ia juga boleh menambah kebimbangan bahawa Trump akan suka berdebat dengan Trudeau seperti yang beliau lakukan dengan pemimpin-pemimpin Mexico dan Australia. – AP