Trump beri amaran keras terhadap pendatang

Trump beri amaran keras terhadap pendatang

PHOENIX, 1 Sept – Calon Rumah Putih Donald Trump telah mengeluarkan amaran keras anti pendatang hari ini selepas melawat Mexico, dengan mengatakan mereka yang menyeberang masuk ke AS secara haram tidak akan mendapat status sah.

Itu adalah satu dalam beberapa siri pengisytiharan keras yang merangka rancangan menyeluruh untuk bertindak ke atas penghijrahan haram, ekoran nadanya yang lebih berhati-hati awal hari ini, apabila calon Republikan itu bertemu dengan Presiden Mexico Enrique Pena Nieto.

Pendatang adalah isu unggul Trump ketika dia bersaing dengan Hillary Clinton dari parti Demokrat sebelum pilihan raya pada 8 November dan dia membentangkan rancangan 10 perkara tegas untuk menamatkan penyeberangan sempadan secara haram dan kelakuan kesat oleh mereka yang tidak memiliki dokumen di negara itu. Ucapan berapi mengesahkan pendirian keras Trump berhubung pendatang sejurus selepas dia menegaskan kepada Pena Nieto bahawa tembok besar akan dibina di sempadan AS-Mexico jika beliau dilantik.

Rancangan calon jutawan itu termasuklah menghantar pulang pendatang yang mempunyai rekod jenayah, membatalkan arahan eksekutif Presiden Barack Obama yang melindungi berjuta-juta pendatang tidak berdokumen, dan menyekat pembiayaan persekutuan kepada bandar-bandar yang digelar ‘bandar perlindungan’ yang menegah diskriminasi ke atas mereka yang tidak memiliki dokumen. – AFP