Trump, Clinton berbalah punca serangan di Orlando

Trump, Clinton berbalah punca serangan di Orlando

CLEVELAND, 14 Jun (Agensi) – Bakal calon bagi pilihan raya presiden AS, Hillary Clinton dan Donald Trump berbeza pendapat berhubung insiden tembakan di sebuah kelab malam di Orlando hujung minggu lalu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 49 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera.

Ketika berkempen di Cleveland Ohio, Clinton memberi amaran terhadap perbuatan memburukkan orang Islam dan teguh dengan seruan beliau untuk mengharamkan senjata api.

“Saya percaya senjata perang tidak mempunyai ruang di tempat kita dan kita mungkin punya perbezaan pendapat mengenai peraturan-peraturan keselamatan senjata, tetapi kita semua harus dapat bersetuju dengan beberapa perkara penting.

Jika FBI mengawasi anda kerana disyaki ada kaitan dengan pengganas, tidak mungkin anda dapat membeli senjata api dengan begitu mudah,” kata calon Demokrat itu.

Clinton dan Trump berbeza pendapat berhubung insiden tembakan di sebuah kelab malam di Orlando hujung minggu lalu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 49 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera. – AFP
Clinton dan Trump berbeza pendapat berhubung insiden tembakan di sebuah kelab malam di Orlando hujung minggu lalu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 49 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera. – AFP

Sebaliknya pesaing Republikan, Donald Trump menuduh Clinton tidak layak untuk memimpin negara, sekali gus berikrar untuk menggantung kemasukan imigresen ke Amerika Syarikat dari negara yang katanya terbukti mempunyai ‘sejarah keganasan’.

“Kita tidak boleh terus membenarkan beribu-ribu orang terus masuk ke negara kita, yang kebanyakannya mempunyai pemikiran yang sama seperti pembunuh ganas ini. Satu-satunya sebab pembunuh itu berada di Amerika adalah kerana kita membenarkan keluarganya datang ke sini. Ia adalah hakikat dan kita perlu membincangkannya,” kata Trump.

Bercakap di Manchester, New Hampshire, jutawan itu juga mengkritik Presiden Obama kerana gagal menggunakan istilah, “keganasan Islam radikal” untuk menggambarkan insiden tembakan terbesar dalam sejarah negara itu.