Trump dakwa ‘orang Islam’ semakin liar

Trump dakwa ‘orang Islam’ semakin liar

MIAMI, 29 Nov (AFP) – Calon presiden Republikan AS Donald Trump memperkuatkan lagi retorik mengapi-apikannya semalam dengan mendakwa orang Islam di seluruh dunia ‘semakin liar’ untuk meraikan serangan 11 September 2001.

Awal bulan ini taikun hartanah itu mengundang penelitian selepas mengatakan orang Arab dan orang Islam Amerika bergembira dengan serangan ganas. Dia juga menyuarakan sokongan bagi pangkalan data untuk menjejaki orang Islam di negara itu.

Tetapi pada perhimpunan hujung minggu di Sarasota, Florida, Trump melangkah lebih jauh lagi.

“Semua orang mengakui bahawa di seluruh dunia, orang Islam benar-benar menjadi liar,” Trump memberitahu para penyokong ramai.

Trump bercakap ketika perhimpunan di Sarasota, Florida petang semalam. – AFP
Trump bercakap ketika perhimpunan di Sarasota, Florida petang semalam. – AFP

Sebenarnya, beberapa orang pemimpin Arab dan Islam – termasuklah bekas pemimpin Palestin Yasser Arafat dan orang kuat Libya Muamar Gaddafi – menyelar serangan pada waktu itu.

Tinjauan pendapat Gallup 2008 mendapati hanya tujuh peratus orang Islam di seluruh dunia mengatakan serangan 11 September adalah ‘sepenuhnya’ wajar dan menganggap AS tidak baik.

Dalam ucapannya Trump juga sekali lagi menafikan mempersendakan seorang pemberita kurang upaya New York Times apabila dia meniru pergerakan tangannya yang tersentak-sentak.

“Saya tidak akan mempersendakan orang yang kurang upaya,” kata Trump. “Saya memberitahu kamu, saya tidak pernah berbuat demikian.”