Trump dedah cadangan bajet baharu

WASHINGTON, 13 Feb – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam mendedahkan cadangan bersemangat untuk membaharui infrastruktur sebagai sebahagian belanjawan yang menuntut kenaikan mendadak dalam hutang dan pemotongan trilion dolar dalam jaringan keselamatan sosial dan perbelanjaan lain.

Rangka tindakan bagi tahun fiskal 2019 mengenepikan matlamat yang telah lama dipegang oleh Republikan iaitu mengimbangi belanjawan persekutuan dalam tempoh sedekad, dengan defisit diramalkan meningkat dalam tahun 2020 dan berterusan hingga ke masa depan yang dapat dijangkakan di tengah peningkatan pertahanan yang mahal dan agresif.

Usaha untuk memulihkan jalan raya, jambatan dan lapangan terbang AS yang usang termasuklah hanya $200 bilion dalam dana persekutuan, yang menurut Rumah Putih akan merangsang sekurang-kurangnya $1.3 trilion lagi dalam pelaburan dari kerajaan negeri dan pelabur-pelabur persendirian.

Para pegawai pentadbiran menganggap pelan infrastruktur sebagai sebahagian peralihan balik kepada keutamaan negara, dengan $50 bilion khas untuk projek-projek di kawasan luar bandar, kebanyakannya yang menyokong Trump dalam pilihan raya 2016. Trump berkata peralihan dibuat selepas perbelanjaan membazir sejak serangan pengganas 11 September 2001. – AFP

Donald Trump ketika berucap dalam mesyuarat infrastruktur dengan pegawai negeri dan tempatan di Ruang Makan Negeri, di Rumah Putih pada 12 Februari 2018 di Washington, DC. – AFP