Trump diberi taklimat langkah pencegahan provokasi Korea U

WASHINGTON, 11 Okt – Presiden Donald Trump pada Selasa diberikan taklimat oleh pemimpin tertinggi angkatan tentera Amerika Syarikat (AS) mengenai langkah tindak balas yang akan diambil negara itu terhadap sebarang provokasi Korea Utara, lapor agensi berita Xinhua.

Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, talimat diberikan Setiausaha Pertahanan AS Jim Mattis dan Pengerusi Ketua Turus Bersama Joseph Dunford.

Ketegangan semakin memuncak di Semenanjung Korea sejak Pyongyang pada bulan lepas melancarkan ujian nuklear keenamnya yang disifatkan paling kuat.

Jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert berkata, walaupun AS mempunyai pilihan ketenteraan, namun pendekatan “diplomasi tetap menjadi pilihan pertama.”

“Tiada siapa mahu berperang dengan negara lain, kami mahukan diplomasi.Tiada siapa sukakan tindak balas ketenteraan tetapi ia perlu ada sebagai sokongan sekiranya AS atau sekutu kami memerlukannya,” kata Nauert. – Bernama