Trump enggan tarik balik tuduhan

Trump enggan tarik balik tuduhan

WASHINGTON, 1 Dis (AFP) – Pendahulu pencalonan Parti Republikan untuk pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin enggan menarik balik dakwaan bahawa beliau melihat orang Islam di New Jersey bersorak ketika menonton serangan ke atas AS pada 11 September 2001 (9/11) walaupun tidak mempunyai bukti untuk menyokong dakwaannya.

Bilionair hartanah yang angkuh itu menerima banyak kecaman selepas menyatakan pada awal bulan ini bahawa orang Arab dan umat Islam di AS meraikan serangan pengganas itu.

“Kejadian itu berlaku 14 tahun lalu tetapi saya melihatnya di televisyen, saya lihat rakamannya dan ramai orang turut menontonnya.

“Saya menerima beratus-ratus panggilan telefon ke pertubuhan Trump. Mereka menyatakan ‘Saya melihatnya. Mereka (orang Islam) menari di tengah jalan raya’,” kata Trump dalam rancangan bual bicara Meet the Press terbitan saluran televisyen NBC.

Trump berucap kepada para penyokongnya dalam satu rapat umum di Pusat Konvensyen Greater Columbus, Ohio pada 23 November lalu. – Reuters
Trump berucap kepada para penyokongnya dalam satu rapat umum di Pusat Konvensyen Greater Columbus, Ohio pada 23 November lalu. – Reuters

Beberapa hari selepas tragedi 11 September, polis dan media AS menyangkal khabar angin bahawa terdapat golongan tertentu meraikan keganasan itu di bumbung-bumbung kediaman di Bandar Jersey. Trump bagaimanapun berkeras tidak akan menarik balik tuduhannya.

“Saya melihatnya. Begitu ramai yang melihatnya, jadi kenapa saya perlu menarik balik kenyataan ini? Saya tidak akan menarik balik kata-kata saya,” katanya.

Trump memetik sebuah artikel terbitan akhbar The Washington Post ketika itu yang menyatakan pihak berkuasa telah menahan ‘sebilangan’ individu yang kononnya dilihat bersorak di jalan-jalan raya di New Jersey.

Artikel berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kumpulan yang bersorak tersebut terdiri daripada orang Islam atau bukan.

ARTIKEL YANG SAMA