Trump ikrar ‘rawat luka lama’

Trump ikrar ‘rawat luka lama’

NEW YORK, 9 Nov – Calon Republikan, Donald Trump melakukan kejutan paling hebat dalam sejarah politik Amerika Syarikat (AS) apabila memenangi Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat dalam pertandingan sengit menentang calon Demokrat Hillary Clinton.

Presiden AS ke-45 itu berkata, beliau akan cuba ‘merawat luka lama’ yang membelenggu negara itu sekian lama dan menjadi presiden ‘untuk seluruh rakyat Amerika,’ sambil memuji pesaingnya, Hillary Clinton atas perkhidmatan awam yang diberikan selama ini.

“Hillary sudah terlalu lama bekerja keras sepanjang tempoh yang panjang dan kita semua banyak terhutang budi atas perkhidmatan beliau kepada negara,” kata Trump dalam ucapan bersejarah sebaik sahaja menang besar dalam perlumbaan ke Rumah Putih.

“Saya berjanji kepada seluruh rakyat di negara ini bahawa saya akan menjadi presiden untuk semua rakyat Amerika,” kata Trump.

Dengan kegembiraan daripada penyokong-penyokongnya pada satu parti kemenangan di bandar kediamannya, New York, Trump meminta untuk menamatkan perpecahan dan perasaan dendam yang dihasilkan sepanjang kempen Pilihan raya Presiden selama 18 bulan yang lalu.

Presiden AS yang baru dilantik, Donald Trump menyampaikan ucapannya  pada acara meraikan kemenangannya di New York Hilton Midtown malam tadi. - AFP
Presiden AS yang baru dilantik, Donald Trump menyampaikan ucapannya pada acara meraikan kemenangannya di New York Hilton Midtown malam tadi. – AFP

“Bagi mereka yang memilih untuk tidak menyokong saya pada masa lalu, di mana terdapat hanya segelintir orang, saya menghulur tangan kepada anda untuk memohon bimbingan dan bantuan anda agar kita boleh bekerjasama dan menyatukan negara kita yang hebat ini,” kata Trump.

Beliau juga ternyata mahu berdamai dengan pesaingnya, yang mana selama beberapa bulan dihamunnya sebagai calon pilihan yang korup yang melanggar undang-undang dengan menggunakan server peribadi untuk menghantar dan menerima data sulit.

“Hillary telah bekerja terlalu lama dan bekerja keras untuk tempoh yang panjang kita semua terhutang budi kepada beliau atas khidmatnya kepada negara kita,” kata Trump sambil menegaskan yang beliau benar-benar ikhlas berkata begitu.

Presiden bilionair yang baru dilantik itu berkata, Hillary Clinton telah menghubunginya untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan dalam persaingan ke Rumah Putih. Beliau pada masa sama turut mengucapkan tahniah kepada Hillary dan keluarganya kerana bekerja keras sepanjang tempoh kempen.

Taikun hartanah itu juga berikrar untuk ‘melayani secara adil dengan semua orang,’ termasuk ‘semua negara lain.’

“Kita akan berbaik dengan semua negara yang bersedia untuk berbaik dengan kita. Kita akan mempunyai hubungan yang hebat,” tambahnya.

“Tatkala kempen telah berakhir, tugasan kita terhadap pergerakan ini baru saja bermula,” kata Trump sambil menambah bahawa beliau akan keluar untuk bekerja dengan segera bagi rakyat Amerika, dan akan melakukan tugasan itu dengan harapan ia membuatkan mereka berbangga dengan presiden mereka.

Sementara itu, Presiden Barack Obama hari ini menghubungi bakal pengganti beliau yang baru dilantik untuk mengucapkan tahniah serta menjemputnya ke Rumah Putih, esok (Khamis) untuk berbincang mengenai peralihan jawatan supaya ia berjalan secara licin dan lancar.

Obama juga turut menghubungi Hillary untuk menyatakan perasaan kagumnya atas kempen hebat yang beliau jalankan di seluruh negara, kata jurucakap Rumah Putih Josh Earnest dalam satu kenyataan. – AFP