Trump percaya dengan agensi perisikan AS

HANOI, 12 Nov – Presiden Donald Trump hari ini berkata beliau percaya dengan agensi-agensi perisikan AS yang membuat kesimpulan bahawa Rusia campur tangan dalam pilihan raya presiden AS 2016.

Tetapi Trump juga berkata beliau percaya Presiden Rusia Vladimir Putin ikhlas apabila beliau mengatakan Rusia tidak campur tangan.

“Saya percaya beliau merasakan bahawa beliau dan Rusia tidak campur tangan dalam pilihan raya,” Trump berkata tentang Putin pada sidang media bersama Presiden Vietnam di Hanoi. “Tentang sama ada saya mempercayainya, saya bersama agensi-agensi saya.”

Beliau menambah, “Agensi diterajui oleh orang baik, saya sangat percaya dengan agensi-agensi perisikan kami.”

Para pegawai tertinggi perisikan AS termasuklah mereka di CIA, telah membuat kesimpulan bahawa Rusia telah campur tangan dalam pilihan raya untuk membantu Trump dari parti Republikan mengatasi calon Demokrat, Hillary Clinton. Suruhanjaya khas dan jawatankuasa Kongres juga sedang menyiasat kemungkinan pakatan sulit antara penolong-penolong kempen Moscow dan Trump.

Donald Trump dan Vladimir Putin bercakap semasa sesi bergambar ramai di Sidang Kemuncak APEC yang berlangsung di Da Nang, Vietnam. Kedua-dua pemimpin tersebut tidak akan mengadakan mesyuarat rasmi semasa berlangsungnya sidang ekonomi. – AP

Trump hari ini juga menyarankan bahawa sudah tiba masanya untuk mengenepikan sekatan yang dikenakan Kongres ke atas Rusia dalam tindakan balas.

“Sudah tiba masanya kembali memulihkan dunia yang telah hancur berkecai,” kata Trump. “Itu merupakan perkara yang sangat penting.”

Persoalan ini menyelubungi Trump sejak bulan Januari, apabila buat pertama kali pada sidang media di Trump Tower sejurus sebelum mengambil alih kepimpinan, mengatakan bahawa beliau menerima, Rusia dalang di sebalik penggodaman ke atas pihak Demokrat pada tahun pilihan raya yang menganggu persaingan pilihan raya. – AP