Trump sekat bidaan Broadcom untuk beli Qualcomm

SAN FRANCISCO, 13 Mac – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam menyekat bidaan Broadcom yang berpangkalan di Singapura untuk mengambil alih pengeluar cip telefon pintar Qualcomm, dengan memetik isu keselamatan negara.

Trump mengeluarkan satu arahan bagi melarang pemerolehan besar-besaran, berkata terdapatnya bukti sahih bahawa urus niaga sedemikian boleh “mengancam keselamatan negara Amerika Syarikat,” menurut kenyataan Rumah Putih.

Perintah itu muncul meskipun jaminan daripada Broadcom mengatakan ia akan menyelesaikan perpindahannya ke AS pada awal April, menjelang pengundian pemegang saham Qualcomm yang dirancang sebelumnya mengenai perjanjian bernilai AS$117 bilion, bermakna mana-mana isu keselamatan negara dibangkitkan.

“Broadcom tidak bersetuju pemerolehan Qualcomm boleh menimbulkan sebarang isu keselamatan negara,” kata syarikat, menambahkan ia sedang mengkaji semula arahan tersebut.

Jabatan Perbendaharaan berkata dalam sepucuk surat hujung minggu lalu bahawa Broadcom telah melanggar arahan Jawatankuasa Pelaburan Asing di Amerika Syarikat sebanyak tiga kali dengan gagal memberikan notis lebih awal sebelum mengambil tindakan seperti mengemukakan pengambilalihan fail berkaitan keselamatan di AS.

Gambar fail menunjukkan pengunjung semasa pameran Qualcomm di Persidangan Internet Mudah Alih Global (GMIC) di Beijing. Presiden AS telah menyekat usaha Broadcom untuk mengambil alih Qualcomm atas alasan isu keselamatan Negara.

Menurut surat itu, satu siasatan CFIUS dalam pemerolehan setakat ini telah ‘mengesahkan’ isu keselamatan negara yang dikenal pasti sebelumnya oleh pegawai AS.

Trump mengarahkan Broadcom dan Qualcomm supaya ‘meninggalkan pengambilalihan dengan serta-merta.’

Syarikat cip itu diberitahu supaya menghubungi CFIUS secara bertulis bahawa segala aspek arahan telah pun diikuti.

“Perjanjian ini merupakan satu idea yang teruk dari awal lagi,” kata penganalisis Patrick Moorhead daripada Moor Insights and Strategy.

Saham Broadcom mengakhiri perniagaan dengan meningkat 3.5 peratus kepada AS$262.84 dan mencatat pertambahan lebih dalam perniagaan selepas pasaran. – AFP