Trump ‘tak layak’ jadi presiden AS

Trump ‘tak layak’ jadi presiden AS

WASHINGTON, 11 Dis (Agensi) – Lebih ramai tampil mempersoalkan kesesuaian Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat setelah calon Republikan itu mendesak supaya orang Islam dilarang memasuki negara tersebut.

Yang terbaru ialah Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, dan legenda tinju Muhammad Ali.

Rumah Putih, para pemimpin Kongres Amerika, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perdana menteri Perancis dan Britain, pelbagai kumpulan hak sivil dan kemanusiaan, serta pesaing Republikan dan Demokratik dalam pilihan raya presiden Amerika sebelum ini telah mengecam Trump.

Zuckerberg mahu hak orang Islam dilindungi dan menyatakan mereka tidak sepatutnya berasa bimbang apabila “dianiaya atas tindakan orang lain”.

Zuckerberg, dalam entri Facebooknya semalam, berkata masyarakat Islam tidak sepatutnya berdepan dengan diskriminasi berikutan serangan di Paris dan tempat lain yang dikaitkan dengan pelampau.

“Selepas serangan di Paris dan kebencian minggu ini, saya hanya boleh bayangkan ketakutan di kalangan Muslim apabila mereka dianiaya atas tindakan orang lain,” katanya.

“Sebagai seorang Yahudi, keluarga saya mendidik saya bahawa kita mesti bersatu menentang serangan yang ditujukan terhadap semua komuniti. “Malah jika serangan itu bukan dilakukan terhadap anda hari ini, apa saja serangan terhadap kebebasan bagi semua tentu sekali akan melukakan setiap orang,” jelasnya lagi merujuk kepada Trump.

Legenda tinju, Muhammad Ali, 73 tahun, tidak menyebut nama Trump, namun satu kenyataan bekas johan tinju itu – seperti yang dilaporkan NBC dan ABC – kelihatan ditujukan kepada Trump.

“Bercakap sebagai seseorang yang tidak pernah cuba menganggap dirinya sebagai seorang yang bebas dari sebarang cemuhan, saya yakin pemimpin politik kita akan menggunakan kedudukan dan pengaruh mereka untuk membantu orang ramai memahami Agama Islam dan menjelaskan bahawa para pembunuh yang terpesong ini sudah memesongkan pandangan orang ramai tentang ajaran Islam sebenar,” kata beliau, merujuk kepada serangan-serangan pengganas baru-baru ini.

“Saya beragama Islam, dan membunuh orang yang tidak berdosa di Paris, San Bernardino atau di mana sahaja di dunia ini, tidak ada kena mengena dengan Islam sama sekali,” kata Ali. “Orang Islam sebenar tahu bahawa tindakan ganas pelampau ini bertentangan dengan ajaran agama kita.”