Trump tambah dana saingi Hillary

Trump tambah dana saingi Hillary

WASHINGTON, 23 Jun (AFP) – Jutawan hartanah Donald Trump hadir dalam satu acara di New York bagi mengutip derma untuk kempen presidennya, ketika beliau berusaha mengurangkan kelebihan jurang kewangan yang dimiliki pencabar daripada parti Demokrat, Hillary Clinton.

Angka kempen kewangan bakal calon presiden Republikan itu mencetuskan kebimbangan berhubung kesediaannya menghadapi persaingan pilihan raya umum.

Beliau mengadakan acara bersarapan berharga AS$25,000 sepinggan secara tertutup di restoran Itali, Le Cipriani untuk penyumbang terbesar, menurut akhbar The Wall Street Journal.

Jumlah maksimum sebanyak AS$2,700 daripada setiap penyumbang dibenarkan disalurkan kepada kempen Trump, dengan bakinya disalurkan kepada parti Republikan.

Kelmarin, Trump berikrar untuk secara “peribadi” memberi sumbangan dolar ke dolar penyokongnya dalam tempoh 48 jam, sehingga AS$2 juta.

Donald Trump berucap dalam satu acara di Trump SoHo Hotel di New York City, kelmarin. Trump berusaha untuk menambah dana kempennya bagi menyaingi Hillary Clinton untuk menawan Rumah Putih. – AFP
Donald Trump berucap dalam satu acara di Trump SoHo Hotel di New York City, kelmarin. Trump berusaha untuk menambah dana kempennya bagi menyaingi Hillary Clinton untuk menawan Rumah Putih. – AFP

Pengumpulan dana itu susulan pengisytiharan terbaru Trump dan Clinton kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC) yang menunjukkan kempen bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) itu memiliki dana AS$40 juta lebih banyak berbanding Trump.

“Saya memiliki lebih AS$40 juta jika saya mahu menggunakan wang sendiri. Saya fikir angka berikutnya akan lebih baik. Namun yang penting saya tidak mahu mengumpul bilion dolar,” kata Trump kepada Fox News.

“Saya fikir dapat melakukannya (untuk mencapai kemenangan) walaupun dengan kekurangan dana,” kata Trump yang berulang kali mengecam lawan politiknya kerana terhutang budi kepada penderma mega.

Gaya pembiayaan kempennya tidak konvensional. Beliau setakat ini meminjamkan kepada kempennya sebanyak AS$45.7 juta.

eliau layak mengumpul wang daripada penyokongnya bagi menggantikan jumlah itu, namun memberitahu saluran MSNBC Mei lalu bahawa beliau “tidak berhasrat membayar semula kepada dirinya.”

Sejumlah besar perbelanjaan kempen Trump, kira-kira 20 peratus pada Mei lalu, disalurkan semula kepada perniagaannya sendiri, lapor akhbar New York Times.

ARTIKEL YANG SAMA