Trump tuduh Cruz menipu di Iowa

Trump tuduh Cruz menipu di Iowa

WASHINGTON, 4 Feb – Calon presiden Republikan, Donald Trump menuduh pencabarnya, Ted Cruz menang dengan cara menipu dalam pengundian di Iowa ketika berusaha mengukuhkan kedudukan menjelang pengundian penting di New Hampshire, minggu depan.

Hartawan hartanah itu membuat tuduhan berkenaan dalam akaun Twitter, memberitahu enam juta pengikutnya bahawa senator dari Texas berkenaan menipu dalam undian pertama pemilihan presiden Amerika Syarikat 2016.

“Ted Cruz sebenarnya kalah di Iowa. Beliau menang secara menipu di Iowa. Itu sebabnya mengapa semua pengundian salah dan mendapat lebih banyak undian berbanding jangkaan. Teruk! tulisnya dalam akaun itu.

Beliau mengkritik Cruz kerana mengeluarkan kenyataan seorang lagi calon, Ben Carson, menarik diri dan menuduh Cruz membohongi ribuan pengundi mengenai dasarnya.

“Berdasarkan penipuan dilakukan Senator Ted Cruz di Iowa, sama ada pengundian baru perlu diadakan atau keputusan Cruz dibatalkan,” katanya.

Donald Trump ketika berucap di hadapan para penyokongnya. – Reuters
Donald Trump ketika berucap di hadapan para penyokongnya. – Reuters

Tuduhan itu, yang terbaharu dalam senarai panjang penghinaan dilemparkan Trump kepada pencabarnya, dibuat dalam nada berlainan dengan ucapannya di Iowa Isnin lalu ketika mengaku salah, berkata beliau ‘bangga’ berada di tempat kedua.

Terdahulu, pesawat yang membawa Donald Trump dilaporkan mendarat cemas di Nashville dipercayai mengalami kerosakan enjin.

Pesawat Boeing 757 yang dalam penerbangan ke Little Rock, Arkansas dari New York apabila mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Nashville.

Jurucakapnya berkata, Trump menggunakan pesawat kecil untuk menghabiskan baki kempennya di beberapa negeri.

Sementara itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan berkata, pesawat Trump bagaimanapun selamat mendarat kira-kira jam 4.40 petang (waktu tempatan) selepas mengalami kerosakan enjin. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA