Trump tuduh sekutu AS tidak beri sokongan NATO

Trump tuduh sekutu AS tidak beri sokongan NATO

WASHINGTON, 3 April (Reuters) – Calon presiden Republikan yang disebut-sebut akan menang, Donald Trump semalam sekali lagi menuduh sekutu-sekutu AS tidak memberi sokongan kepada gabungan ketenteraan NATO, di sebalik gesaan Presiden Barack Obama supaya melembutkan retorik dasar luarnya.

Ahli perniagaan jutawan itu memberitahu rapat kempen di Racine, Wisconsin bahawa sekutu-sekutu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara ‘tidak memberikan bahagian adil mereka ‘ dan menyifatkan gabungan 28 negara itu ‘usang’.

“Sama ada mereka memberi, termasuklah kekurangan lalu, atau mereka mesti keluar. Dan jika ia memecahkan NATO, ia memecahkan NATO,” kata Trump. Trump kerap mengkritik NATO dalam beberapa minggu kebelakangan ketika persaingan bagi pencalonan Republikan bagi pilihan raya 8 November semakin hangat.

Jumaat lalu, Obama meragui kelayakan Trump bagi jawatan presiden kerana bekas bintang realiti TV itu enggan menolak penggunaan senjata nuklear di Eropah dan berkata Jepun dan Korea Selatan mungkin perlukan senjata nuklear.

“Orang yang membuat kenyataan ini tidak begitu banyak mengetahui tentang dasar luar atau dasar nuklear atau semenanjung Korea, atau dunia pada umumnya,” kata Obama, dengan memberi amaran bahawa dunia secara dekat memerhati retorik pilihan raya AS. “Saya pernah berkata sebelum ini bahawa orang memberi perhatian kepada pilihan raya Amerika. Apa yang kita lakukan adalah benar-benar penting bagi seluruh dunia,” kata Obama lagi.