Trump umum untuk keluar dari perjanjian TPP

Trump umum untuk keluar dari perjanjian TPP

WASHINGTON, 22 Nov – Donald Trump semalam mengumumkan Amerika Syarikat akan mengisyaratkan pengeluarannya daripada perjanjian perdagangan Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) pada hari pertama di Rumah Putih, sebagai satu daripada enam langkah bertujuan “meletak Amerika terlebih dahulu.”

Jutawan Republikan itu, yang telah memilih calon kabinet selama 10 hari di pejabat Menara Trump di New York, membuat janji tersebut dalam mesej video yang ringkas.

Jutawan berusia 70 tahun itu menggaris kasar satu senarai dasar utama untuk 100 hari pertama beliau dan tindakan eksekutif yang akan diambil “pada hari pertama”,mengenai satu dozen isu daripada perniagaan kepada imigresen, keselamatan negara dan etika, dalam usaha untuk “memperbaharui Washington dan membina semula kelas pertengahan kami.”

“Agenda saya adalah berdasarkan prinsip utama: meletak Amerika terlebih dahulu,” kata presiden dipilih, di mana kempennya menggunakan kemarahan kelas kerja warga Amerika yang rasa ketinggalan di belakang akibat globalisasi, memilih perjanjian perdagangan seperti TPP sebagai punca utama.

Gambar fail 19 November 2016 menunjukkan Donald Trump berucap kepada pemberita di Kelab Golf TrumpInternational, di Bedminster Township, New Jersey. Donald Trump kelmarin mengumumkan Amerika Syarikat akan mengisyaratkan pengeluarannya daripada perjanjian perdagangan Perkongsian Rentas Pasifik (TPP). – AFP
Gambar fail 19 November 2016 menunjukkan Donald Trump berucap kepada pemberita di Kelab Golf TrumpInternational, di Bedminster Township, New Jersey. Donald Trump kelmarin mengumumkan Amerika Syarikat akan mengisyaratkan pengeluarannya daripada perjanjian perdagangan Perkongsian Rentas Pasifik (TPP). – AFP

“Mengenai perdagangan, saya akan mengeluarkan pemberitahuan niat untuk menarik diri daripada Perkongsian Rentas Pasifik, satu mala petaka berpotensi untuk negara kami,” kata Trump, yang akan menerajui tampuk pentadbiran pada 20 Januari. “Sebaliknya, kami akan berunding perjanjian perdagangan dua hala yang adil yang membawa pekerjaan dan industri kembali ke negara Amerika,” kata beliau.

TPP dan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara dipaparkan dalam kempen Rumah Putih, dituduh menjejas ekonomi dan pekerjaan AS, dan ramai melihat kemenangan Trump sebagai penolakan hubungan komersial yang lebih mendalam.

Platform pilihan raya populis Trump meminta pembatalan TPP, inisiatif perdagangan utama Presiden Barack Obama yang masih perlu diluluskan oleh Kongres, serta merunding semula NAFTA. Pemimpin Asia telah bergegas untuk menyelamat TPP, dan Wakil Perdagangan AS Michael Froman mengingatkan pada minggu lalu pembatalannya akan memberi kesan strategik dan ekonomi yang “serius”. – AFP