TSG guna khidmat tiga pelumba import musim 2016

TSG guna khidmat tiga pelumba import musim 2016

KUALA TERENGGANU, 29 Nov (Bernama) – Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) akan mengambil tiga pelumba import bagi memperkuatkan skuad itu pada saingan tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Farhan Abdul Wahab berkata mereka adalah Daniel Whitehouse, 20, dari New Zealand, Dadi Suryadi, 26, (Indonesia) dan Maralerdene Batmunkh, 21, (Mongolia).

“Mereka dijadualkan datang ke Terengganu selewat-lewatnya awal tahun depan untuk menandatangani kontrak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurut Farhan, pemilihan pelumba berkenaan dibuat berdasarkan kepada permohonan dan juga pencapaian prestasi masing-masing dalam pasukan yang mereka sertai sebelum ini.

“Ada antara mereka ini adalah pelumba pecut dan juga pendaki bukit. Ini menepati sasaran pasukan TSG bagi memantapkan posisi tersebut,” katanya.

Dadi ketika ini adalah anggota pasukan Pegasus Continental Cycling Team, Whitehouse pula bersama Team UKYO manakala Batmunkh mewakili Ningxia Sports Lottery-Focus Cycling Team.

Dengan perkembangan terbaru itu, pasukan TSG kini mempunyai empat pelumba import selepas Goh Choon Huat dari Singapura menyertainya awal tahun ini.

Dalam pada itu, Farhan berkata TSG juga berkemungkinan mengambil dua atau tiga pelumba baharu tempatan yang dilihat berpotensi untuk memperkuatkan pasukan TSG pada tahun depan.

ARTIKEL YANG SAMA