TSG tempat ketiga keseluruhan Jelajah Borneo 2015

TSG tempat ketiga keseluruhan Jelajah Borneo 2015

KUALA TERENGGANU, 5 Nov (Bernama) – Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) mencatat kejayaan memberangsangkan apabila menduduki tempat ketiga terbaik daripada 20 pasukan di perlumbaan Jelajah Borneo yang berakhir semalam.

Skuad kendalian jurulatih baharu Adam Szabo dari Slovakia itu turut memenangi jersi putih untuk pelumba Terbaik Asia menerusi Nur Amirul Fakhruddin Mazuki manakala Mohd Harris Salleh meraih jersi hijau (Raja Pecut) di kejohanan lima hari yang bermula 31 Okt lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Farhan Abdul Wahab berkata pasukan TSG mempamerkan prestasi yang baik di bawah kendalian Szabo yang mengambil alih tugas pada Oktober lepas.

“Saya harap mereka akan lebih serasi dan terus melakar kejayaan di pertandingan yang akan disertai seterusnya,” katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Jelajah Borneo anjuran Borneo International Cycling (BIC) yang membabitkan lima peringkat bermula dari Labuan hingga ke Kundasang merupakan perlumbaan kategori 2.2 yang diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

TSG menghantar enam pelumba diketuai Mohd Harris. Selain Nur Amirul Fakhruddin dan Mohd Harris, empat lagi pelumba adalah Yusrizal Usoff, Nor Imran Norin, Muhammad Ameer Ahmad Kamal dan pelumba import dari Singapura, Goh Choon Huat.

Farhan berkata pada masa sama, TSG juga menghantar satu lagi pasukan untuk menyertai Jelajah Taihu Lake di China yang bermula dari 31 Okt hingga 7 Nov.

Menurutnya TSG menghantar tujuh pelumba diketuai Anuar Manan ke kejohanan itu.

ARTIKEL YANG SAMA