Tsonga harapan Perancis

Tsonga harapan Perancis

PARIS, 2 Jun (AFP) – Pada ketika ramai pemain terpaksa menunggu berjam-jam atau menangguhkan perlawanan gara-gara hujan, jaguh tuan rumah, Jo-Wilfried Tsonga, sebaliknya cemerlang dalam cuaca buruk di Roland Garros apabila mengejutkan pilihan keempat, Tomas Berdych untuk mara ke suku akhir tenis Terbuka Perancis, semalam.

Tsonga, pilihan ke-14 bagaimanapun dipaksa berhempas pulas sebelum menang 6-3, 6-2, 6-7 (5/7), 6-3 dalam aksi pusingan kedua, sekali gus menebus kekecewaan peminat tuan rumah selepas seorang lagi pemain harapan mereka, Gilles Simon ditunjukkan jalan keluar selepas kalah 1-6, 4-6, 2-6 kepada pilihan kelapan, Stan Wawrinka dari Switzerland.

Seorang lagi bintang Perancis, Gael Monfils pula tidak dapat menamatkan perlawanan menen­tang bekas jaguh No. 1 dunia, Roger Federer akibat cuaca gelap ketika kedua-dua mereka terikat 1-1. Federer menang 6-3 di set pertama, tetapi Monfils memenangi set kedua 6-4.

Tsonga kini bakal berdepan jaguh Jepun yang juga pilihan kelima, Kei Nishikori dalam suku akhir hari ini.

Nishikori tidak menghadapi banyak masalah untuk mengetepikan pencabar dari Rusia, Teymuraz Gabashvili 6-3, 6-4, 6-2.

Dalam perlawanan semalam, Berdych tampak bergelut sejak awal permainan apabila beraksi di bawah cuaca sejuk dan lembap, sekali gus membenarkan Tsonga menguasai permainan rali menerusi servisnya yang kencang.

Pemain Republik Czech itu cuba bangkit di set ketiga dengan kemenangan 7-6 (7/5), namun Tsonga tidak membenarkan permainan diheret ke penentuan lima set apabila memenangi set keempat.

“Ia tidak mudah. Saya perlu bermain dengan betul-betul bagus dalam tiga set untuk mencatat kemenangan. Dia (Berdych) adalah pemain yang bagus dan saya yakin dia akan kembali dalam kejohanan lain.

“Saya gembira dapat mengalahkan pemain hebat sepertinya, ini antara detik terbaik saya dalam kejohanan ini,” kata Tsonga, 30.

Tsonga merupakan seorang daripada lima pemain tuan rumah yang berjaya melayakkan diri ke pusi­ngan keempat, antara pencapaian terbaik pemain Perancis dalam era moden kejohanan sejak 1968.

Selepas Simon gagal meneruskan kecemerlangan Tsonga, tumpuan kini terarah kepada perlawanan Monfils-Federer yang dijangka berlangsung sengit serta mendebarkan. Juara 2009 dan pilihan kedua kejohanan, Federer mendominasi permainan dalam keadaan sejuk dan berangin di Roland Garros, namun dia melakukan beberapa kesilapan di set kedua sebelum pengadil memutuskan permainan dihentikan akibat cuaca buruk.

Dua lagi pemain Perancis yang turut melangkah ke pusingan keempat adalah Richard Gasquet dan Jeremy Chardy. Kedua mereka bakal berdepan dua pemain pilihan, Novak Djokovic dan Andy Murray.

Tiada pemain Perancis berjaya muncul juara di Roland Garros sejak kali terakhir Yannick Noah me­lakukannya pada 1983, manakala Marcel Bernard muncul pemain tuan rumah pertama menang pada 1946.

Nishikori turut mencatat sejarah peribadi apabila muncul pemain Jepun pertama dalam tempoh 82 tahun berjaya me­langkah ke su­ku akhir Terbuka Perancis.

Pencapaian terbaik Je­pun dalam kejohanan Grand Slam di Paris itu adalah menerusi Jiro Satoh yang melayakkan diri ke separuh akhir pada 1931 dan 1933.

ARTIKEL YANG SAMA