Tuah birdie Amy

Tuah birdie Amy

LANCASTER, AS, 12 Julai (AFP) – Pemain Korea Selatan, Amy Yang membenam empat birdie berturut-turut untuk melakar empat bawah par 66 sekali gus mendahului dengan tiga pukulan selepas pusingan kedua Terbuka Wanita AS, semalam.

Amy yang berhijrah ke Australia ketika remaja dan kini berpangkalan di Orlando, mencatat tujuh bawah par 133 selepas menamatkan aksi 36 lubang di Kelab Country Lancaster dan merekod catatan kedua paling rendah selepas separuh saingan dalam sejarah kejohanan itu ketika dia berusaha untuk merangkul gelaran utama pertama dalam kariernya.

Pemain berusia 25 tahun dari Korea Selatan itu sering kali menamatkan saingan di kedudukan lima terbaik pada kejohanan utama namun gagal merangkul sebarang mahkota kejuaraan dan kejayaan paling hampir adalah muncul naib juara pada Terbuka AS 2012.

Catatan terendah selepas 36 lubang dalam sejarah kejohanan itu dilakukan pemain Sweden, Helen Alfredsson pada 1994 menerusi 132 pukulan.

Amy membenam birdie dari lubang ke-11 hingga 14 untuk menguasai saingan dan pukulannya tepat singgah ke-15 green dan hanya tersasar dua fairway.

Amy Yang membuat pukulan pada lubang ketujuh pusingan ketiga Terbuka Wanita AS semalam. – AFP
Amy Yang membuat pukulan pada lubang ketujuh pusingan ketiga Terbuka Wanita AS semalam. – AFP

“Saya memukul dengan baik sepanjang minggu ini dan memastikan bola sering berada di fairway terutama kerana adanya rough besar dan panjang,” kata Amy. “Hayunan saya juga amat baik.”

Amy yang kini menghuni ranking ke-15, belum pernah merangkul sebarang gelaran di AS namun muncul juara siri jelajah Eropah dan Korea Selatan selain memenangi dua gelaran LPGA di Korea Selatan pada 2013 dan terbaru awal tahun ini di Thailand.

Amy tidak berdepan masalah beraksi di lapangan sukar yang disediakan pada Terbuka Wanita AS kali ini.

“Saya gembira beraksi di sini,” kata Amy. “Lapangan ini sukar dan saya perlu memastikan sentiasa bersabar. Cuba menikmati kesukaran yang tersedia,” katanya.

Berkongsi tangga kedua dengan 136 pukulan adalah pemain Amerika, Stacy Lewis dan Shiho Oyama dari Jepun dengan pemain AS, Marina Alex ketinggalan satu pukulan di belakang.

ARTIKEL YANG SAMA