Tuah Dayang Suriani ke Rio de Janeiro

Tuah Dayang Suriani ke Rio de Janeiro

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Salah seorang pemegang kad Visa Baiduri, Dayang Suriani binti Haji Tamit akan berpeluang menyaksikan beberapa acara terpilih dalam Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil apabila menjadi pemenang promosi visa Bank Baiduri.

Dalam promosi itu, Dayang Suriani memenangi pakej menyaksikan Sukan Olimpik 2016 untuk dua orang yang dibiayai sepenuhnya oleh Bank Baiduri yang termasuk tempat penginapan untuk empat malam di hotel Deluxe, melancong di beberapa tempat pelancongan di Rio de Janeiro, menerima cenderamata tema Visa-Olympic khas dan kad tunai bernilai AS$400 untuk perbelanjaan mereka semasa berada di sana.

Penyampaian hadiah telah diadakan minggu lalu dan disempurnakan oleh Ketua Perbankan Runcit Baiduri Bank, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, promosi yang berlangsung dari 28 Mac hingga 31 Mei lalu itu dibukakan kepada kesemua pemegang kad Visa Baiduri, dengan hanya perlu menggunakan kad Visa Debit/Credit mereka secara aktif dengan setiap transaksi $50 melayakkan mereka untuk menyertai satu cabutan.

Dayang Suriani menerima hadiah berupa pakej menyaksikan kejohanan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, yang disampaikan oleh Pengiran Azaleen.
Dayang Suriani menerima hadiah berupa pakej menyaksikan kejohanan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, yang disampaikan oleh Pengiran Azaleen.

Dalam kenyataan itu, Pengiran Azaleen melahirkan penghargaan atas sokongan dan komitmen pemegang kad yang memanfaatkan faedah dan keistimewaan kad yang dikeluarkan oleh Baiduri.

“Kami akan sentiasa berusaha bagi memastikan bahawa kad Bank Baiduri memberi pelanggan kami potongan harga eksklusif, tawaran istimewa dan mata ganjaran di Brunei dan seluruh dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Visa cawangan Negara Singapura dan Brunei, Ooi Huey Tyng pula menyatakan bahawa Visa telah menjadi penaja utama Olimpik dan kerana itu, mereka boleh mengadakan kempen bersama Bank Baiduri untuk memberi faedah kepada pemegang kad Visa.

“Kami akan terus bekerjasama dengan pengeluar bank kami untuk mengadakan kempen pemberian dan aktiviti untuk pemegang kad kami,” tambah beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA