Tuah Dayang Zarifah miliki Hyundai Creta

Tuah Dayang Zarifah miliki Hyundai Creta

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Bahyiah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Dengan tiga kali debaran, Dayang Zarifah binti Haji Musa akhirnya mampu tersenyum gembira setelah berjaya menghidupkan enjin kereta Hyundai Creta menggunakan kunci yang dipilihnya, sekali gus menobatkan beliau sebagai pemenang hadiah utama EUFA EURO 2016 Guess the Semi-Finalist Contest pada majlis penyampaian hadiahnya, hari ini.

Penyampaian hadiah pada majlis yang berlangsung di Restoran Millenium, Beribi, petang tadi disempurnakan oleh Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Reggie See; Pengurus Besar Setia Motors Sdn Bhd, James Chin dan Eksekutif Jualan dan Pemasaran Kanan Setia Motors Sdn Bhd, Awang Fadhillah bin Sulaiman, manakala dari Makan Ceria Sdn Bhd pula Eksekutif Sumber-sumber Manusia, Dayang Noor Hafilah binti Salleh.

Menceritakan debaran pertamanya, Dayang Zarifah ketika ditemui berkata, “Mula-mula kami (11 pemenang terpilih) diarahkan untuk mengambil nombor dan saya mendapat nombor satu yang saya sangkakan sebagai pemenang, rupanya nombor tersebut adalah giliran bagi saya untuk memilih kunci yang disediakan”.

Sebelas pemenang berkenaan kemudiannya mencuba untuk menghidupkan enjin kereta menggunakan kunci yang dipilih namun kesemua mereka tidak berjaya kerana ia hanya gimik sebelum pihak pengurusan memasukkan kunci sebenar ke dalam balang kaca yang tersedia.

Menurutnya, pada mulanya beliau hampa kerana tidak berjaya menghidupkan enjin kereta tersebut tetapi kembali berharap setelah pihak pengurusan memasukkan kunci sebenar ke dalam balang di hadapan semua pemenang.

Dayang Zarifah bersama kereta Hyundai Creta yang beliau menangi kelmarin.
Dayang Zarifah bersama kereta Hyundai Creta yang beliau menangi kelmarin.
Reggie See (kanan) bersama James Chin (kiri) menyampaikan hadiah utama kepada Dayang Zarifah.
Reggie See (kanan) bersama James Chin (kiri) menyampaikan hadiah utama kepada Dayang Zarifah.
Dayang Noor Hafilah menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.
Dayang Noor Hafilah menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.

Beliau yang mendapat giliran pertama itu kemudiannya mencuba nasib sekali lagi dan bertawakal untuk mendapatkan kunci sebenar yang akhirnya menjadi milik beliau.

Menyentuh mengenai penyertaannya, beliau berkata memang sukar untuk menjawab jawapan pada kuiz kali ini disebabkan keempat-empat pasukan Jerman, Portugal, Perancis dan Wales sama-sama kuat.

Beliau menghantar sebanyak 40 penyertaan dengan jawapan yang berbeza-beza dan turut menyaksikan perlawanan EURO 2016 itu sebelum menghantar penyertaan pada tarikh tutup pertandingan.

“Dengan rasa terharu dan gembira saya betul-betul tidak menyangka untuk memenangi sebuah kereta Hyundai Creta dan inilah rezeki untuk mendapatkan kereta baru bagi menggantikan kereta saya yang telah pun berusia kira-kira 12 tahun,” ujarnya lagi.

Reggie See (lima kiri) dan James Chin (enam kiri) bergambar ramai bersama para pemenang EUFA EURO 2016 Guess the Semi-Finalist Contest serta wakil penaja dan pasukan Brunei Press.
Reggie See (lima kiri) dan James Chin (enam kiri) bergambar ramai bersama para pemenang EUFA EURO 2016 Guess the Semi-Finalist Contest serta wakil penaja dan pasukan Brunei Press.

Dalam pada itu, suami Dayang Zarifah dan abangnya juga memenangi pertandingan itu dengan masing-masing mendapat hadiah kedua dan ketiga. Beliau yang sering kali mengikuti pertandingan seumpama ini akhirnya berjaya memenangi hadiah utama tahun ini. Seramai 41 orang pemenang bertuah yang lainnya turut membawa balik hadiah berupa baucar McDonald’s dan barangan Hyundai.

Sementara itu, Reggie See dalam ucapannya telah melahirkan rasa penghargaan beliau kepada para penaja yang sama-sama menjayakan pertandingan itu.

Pengurus Besar Setia Motors Sdn Bhd pula melahirkan harapan berharap agar dapat bekerjasama lagi dengan Brunei Press Sdn Bhd pada masa hadapan.

Lebih 21,000 penyertaan diterima bagi kuiz berkenaan yang diterbitkan di Borneo Bulletin dan Media Permata namun hanya 185 orang peserta yang dapat menjawab dengan betul.

Pemilihan telah dibuat oleh wakil-wakil dari Brunei Press Sdn Bhd, pihak penganjur, Setia Motors (Hyundai) selaku rakan kongsi pertandingan dan Makan Ceria Sdn Bhd (McDonald’s) selaku penaja hadiah.

ARTIKEL YANG SAMA