Tuah menyebelahi Bony

Tuah menyebelahi Bony

MANCHESTER, England, 16 Okt (Agensi) – Nasib malang menimpa Sergio Aguero mungkin menjadi tuah buat Wilfried Bony ketika penyerang Ivory Coast itu bersedia menggunakan peluangnya dalam pasukan Manchester City dengan Aguero terpaksa berehat sekurang-kurangnya sebulan kerana kecederaan pangkal paha.

Bony, yang hadir dari Swansea City musim lalu, hanya memulakan lima perlawanan dalam tempoh 10 bulan di Stadium Etihad namun kini berpeluang membuktikan ketajamannya di jentera serangan City.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menanti kunjungan Bournemouth malam esok.

“Tidak bagus apabila rakan sepasukan anda cedera tapi itulah ceritanya dalam bola sepak,” kata Bony.

“Kini saya perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan serta bekerja keras. Saya perlu menggunakan sepenuhnya kesempatan ini dan menjaringkan gol buat pasukan, itulah sebabnya saya berada di sini.”

Pemain berusia 26 tahun itu mendapati sukar untuk memecah pintu kesebelasan utama kerana Aguero bertindak cemerlang, manakala perkembangannya juga dijejaskan dengan beberapa siri kecederaan sekali gus menyaksikannya hanya menyumbat dua gol dalam 19 penampilan.

“Banyak perkara gila berlaku sejak saya menyertai City dan saya terpaksa diketepikan kerana kecederaan tiga atau empat kali jadi sukar untuk mencari rentak bermain satu atau dua perlawanan,” ujarnya.

“Ia tempoh paling buruk dalam karier saya, dalam tempoh lima tahun terakhir saya tidak pernah terlepas dua perlawanan berturut-turut dan di Swansea, saya hanya terlepas beberapa perlawanan dan ia lebih kerana kad merah yang saya terima.