Tubuh pusat lindungi kanak-kanak

Tubuh pusat lindungi kanak-kanak

Oleh Sim Y. H.

 

pg01_160309_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Penubuhan sebuah badan pusat atau central body khusus bagi menjalankan siasatan dan menyelaraskan agensi-agensi kerajaan untuk memainkan peranan masing-masing dalam menangani kes-kes yang berhubung dengan perlindungan kanak-kanak dicadangkan hari ini.

Cadangan itu disuarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah binti Haji Sulaiman semasa sidang Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang untuk hari ketiga.

Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah berkata lagi bahawa sejauh ini, kita selalu bertindak secara reaktif sebagai misalan apabila kanak-kanak sekolah mati berikutan kemalangan di kawasan sekolah baru kita membuat jejantas atau membuat pagar. “Apa yang dikehendaki ialah supaya tindakan yang dibuat bersifat proaktif.”

Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah berkata lagi bahawa jika kerajaan menunjukkan keprihatinan yang serius ke atas setiap kes kemalangan kepada kanak-kanak, beliau percaya kanak-kanak di negara ini akan mendapat perlindungan daripada sebarang kejadian yang sama dan tidak diingini pada masa akan datang.Terdahulu dari itu, beliau berkata bahawa kejadian kebakaran ke atas rumah-rumah telah menyebabkan berlakunya kematian kepada kanak-kanak dan terdapat juga kanak-kanak yang cedera dan menjadi cacat anggota.

“Keperluan untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak bukan sahaja berikutan daripada kejadian kebakaran, terdapat juga kematian akibat kemalangan jalan raya, penderaan dan kejadian mati lemas bagi yang tinggal di Kampong Ayer.” Yang Berhormat Datin menambah bahawa isu perlindungan ke atas kanak-kanak itu, ditujukan kepada Jabatan Perdana Menteri kerana setakat ini, beliau melihat tiada satu kementerian bertanggungjawab sepenuhnya dalam perkara itu. “Jika melihat KPI atau keutamaan dalam Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, walaupun mereka menjadi custodian kepada Perintah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Child and Young Person Act), perintah ini tidak mengandungi siasatan ke atas kanak-kanak yang telah mati.

“Jika meneliti KPI Kementerian Kesihatan pula, mereka juga tidak memberi keutamaan mengenai perkara ini, kecuali memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang berumur lima tahun ke bawah daripada jangkitan penyakit. Pasukan Bomba pula, hanya menumpukan menjalankan tugas mereka memadam api dan mencari punca kebakaran. Sementara itu, Pasukan polis pula hanya akan menjalankan siasatan jika terdapat aduan jenayah telah berlaku ke atas kanak-kanak tersebut.”

Dalam usaha kerajaan memberi perlindungan kepada kanak-kanak, apabila negara telah meratifikasi Convention on the Rights of the Child pada 1995, Yang Berhormat Datin menanyakan agensi manakah yang bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan dan meneliti ke atas kes-kes yang melibatkan kematian kepada kanak-kanak yang berpunca daripada kejadian-kejadian yang disebutkannya itu.

“Di sini, saya mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah central body untuk menjalankan siasatan dan menyelaraskan semua agensi supaya memainkan peranan masing-masing.”

ARTIKEL YANG SAMA