Tuchel cabar ...

Tuchel cabar Dortmund tunjukkan prestasi sebenar

LISBON, 14 Feb – Jurulatih Borussia Dortmund, Thomas Tuchel (gambar) berharap barisannya mampu menunjukkan prestasi sebenar menjelang kunjungan ke Benfica dalam saingan kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Kelab Jerman itu diundi bertemu Benfica selepas unggul menjuarai Kumpulan F, mengatasi Real Madrid yang turut layak selaku naib juara dengan melakar rekod baharu gol peringkat kumpulan, tetapi mereka gagal memperagakan prestasi sebenar dalam liga domestik.

Dalam saingan domestik, Dortmund yang pernah menjuarai pertandingan peringkat Eropah pada 1997 tewas mengejut 2-1 kepada Darmstadt dan kini ketinggalan 15 mata berbanding pendahulu, Bayern Munich.

“Saya mahu Dortmund menunjukkan kemampuan sebenar ketika aksi menentang Benfica,” kata Tuchel. “Sudah pasti kami tidak jangka tewas kepada Darmstadt.

Selepas keputusan mengecewakan, kami harap mampu membina semula keyakinan dan optimis raih keputusan baik di Lisbon.”

Ketika aksi dengan Darmstadt, Dortmund menyenaraikan tiga pemain remaja termasuk Dzenic Burnic yang membuat penampilan pertama dalam Bundesliga.

Bagaimanapun, gandingan Marcel Schmelzer dan Lukasz Piszczek yang cedera sebelum ini kembali cergas untuk aksi menentang Benfica. Namun Mario Gotze tidak akan menyertai pasukan ekoran masalah prestasi dan kecergasan.

Tuchel meramalkan pertembungan Lisbon esok akan mendapat tindak balas yang kuat dari pemainnya tetapi menolak apa-apa cadangan Dortmund merupakan pasukan pilihan untuk mara.

“Dalam peringkat 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara tidak pernah ada pasukan pilihan. Kami akan bermain menentang pasukan yang begitu lengkap, pasukan yang sangat pantas, suka menyerang dan mempunyai gandingan Jonas-Mitroglou sangat kuat dan bekerjasama dengan baik bersama-sama,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA