TUDB catat perubahan positif

TUDB catat perubahan positif

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) mencatatkan beberapa peningkatan dan pencapaian yang positif termasuk pengubahsuaian struktur organisasi TUBD dengan penubuhan beberapa komponen besar iaitu Kumpulan Gerakan dan Kumpulan Bantu serta juga menaikkan taraf Cawangan Latihan menjadi Akademi Latihan TUDB.

Dengan perubahan positif itu, diharap dapat memberikan peluang dalam perkembangan kerjaya semua peringkat terutamanya dalam perjawatan bagi lain-lain peringkat TUDB, jelas Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi bin Abdul Latip ketika berucap di Majlis Doa Kesyukuran dan Penyampaian Anugerah Cemerlang bagi Cawangan dan Anggota-Anggota TUDB bersempena dengan Ulang Tahun TUDB ke-49.

“Ke arah itu, saya berseru kepada semua peringkat pegawai dan lain-lain peringkat untuk lebih inovatif, produktif dan juga meningkatkan profesionalisme ke arah kecemerlangan TUDB,” seru beliau lagi di majlis yang berlangsung di Pangkalan Tentera Udara Rimba, hari ini.

Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi berkata, dari segi meningkatkan persahabatan, TUDB mengadakan latihan dua hala bersama angkatan sahabat, simposium dan juga program interaksi telah pun dijalankan seperti Eksesais LATMA Brunesia bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara, Eksesais CARAT bersama Tentera Laut Amerika Syarikat dan Eksesais Air Guard bersama Tentera Udara Singapura, Eksesais SAREX BRUMAL bersama Tentera Udara Diraja Malaysia bagi meningkatkan jalinan perhubungan diplomasi pertahanan di peringkat operasi dan taktik.

Beliau yakin melalui latihan berterusan dapat menghasilkan anggota TUDB yang mahir dan pakar dalam bidang kerjaya masing-masing.

Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi menyampaikan Anugerah Pekerja Awam Cemerlang kepada Dayang Sarinah.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi menyampaikan Anugerah Pekerja Awam Cemerlang kepada Dayang Sarinah.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.

Beliau juga memaklumkan bahawa semua helikopter Blackhawk S70i telah pun diterima pada awal 2015 dan peningkatan jumlah juruterbang dan juruteknik yang terlatih telah pun meningkat dan seterusnya memberi kesan positif memenuhi keperluan negara.

Selain itu, beliau turut menambah bahawa, kerjasama di antara TUDB dan Pusat Latihan Pelbagai Guna CAE Brunei turut dilaksanakan dalam meningkatkan pengambilan dan penapisan bakal-bakal juruterbang bagi mempercepatkan serta menghasilkan bakal-bakal juruterbang yang lebih berkesan.

“Beberapa projek bagi peningkatan keupayaan TUDB seperti Medium Range Air Defence, Early Warning Radar dan Pesawat Pengangkutan C130J telah pun bermula.”

Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi juga menekankan bagi kepentingan Latihan, Disiplin dan Berwawasan kepada anggota-anggota TUDB di mana segala latihan yang berkepentingan mestilah dirancang dan diatur supaya anggota-anggotanya mencapai piawaian yang dihasratkan.

Sehubungan itu, anggota-anggota TUDB diharapkan untuk mempunyai disiplin yang tinggi baik di peringkat pemimpin atau pun yang dipimpin dan TUDB menyokong penuh dalam menegakkan udang-undang kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan akan mengambil tindakan yang berpatutan kepada mana-mana anggota yang didapati melanggar apa jua peraturan.

Haji Wardi menyampaikan anugerah Cawangan Cemerlang Keseluruhan, bidang Pentadbiran dan Ketahanan Jasmani kepada Cawangan Latihan.
Haji Wardi menyampaikan anugerah Cawangan Cemerlang Keseluruhan, bidang Pentadbiran dan Ketahanan Jasmani kepada Cawangan Latihan.
Haji Wardi menyampaikan Anugerah Anggota Cemerlang TUDB kategori pegawai kepada Kapten (U) Amierul Halpi.
Haji Wardi menyampaikan Anugerah Anggota Cemerlang TUDB kategori pegawai kepada Kapten (U) Amierul Halpi.
Di antara pegawai dan anggota TUDB yang menghadiri majlis tersebut.
Di antara pegawai dan anggota TUDB yang menghadiri majlis tersebut.

Di majlis berkenaan, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi telah menyempurnakan penyampaian anugerah-anugerah kepada para penerima dengan Anugerah Cawangan Cemerlang dibahagikan kepada empat kategori iaitu Cawangan Cemerlang di Bidang Pentadbiran dimenangi oleh Cawangan Latihan, Cawangan Cemerlang dalam Bidang Disiplin dimenangi oleh Cawangan Markas dan Tadbir, Cawangan Cemerlang dalam Bidang Ketahanan Jasmani dimenangi Cawangan Latihan serta Cawangan Cemerlang Keseluruhan dimenangi oleh Cawangan Latihan.

Manakala itu bagi Anugerah Anggota Cemerlang TUDB, Kategori Pegawai dianugerahkan kepada Kapten (U) Amierul Hapli bin Talip, Kategori PTB Kanan kepada Sarjan (U) Mohammad Azuan bin Ismail, Kategori PTB Rendah kepada Koperal Nurizzah binti Haji Jumat, Pekerja Awam Cemerlang kepada Dayang Sarinah binti Haji Hidup; Olahragawan Cemerlang kepada Lans Koperal (U) Azman bin Amir; dan Olahragawati Cemerlang kepada Staf Sarjan Saltinawati binti Haji Abu Bakar.

Sejarah TUDB bermula pada 1965 apabila kontrak dengan Syarikat Worldwide Helicopters ditandatangani bagi tujuan khidmat perubatan di pendalaman. Ini adalah titik permulaan sejarah penerbangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Peranan ABDB sudah banyak berkembang dari segi aset dan anggota dan yang utama sekali adalah peranan keselamatan dan kesejahteraan ABDB dan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA