TUDB kini miliki surau sendiri

TUDB kini miliki surau sendiri

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Pangkalan Tentera Udara Rimba kini mempunyai suraunya yang tersendiri dengan penyerahan kunci surau baru yang telah siap dibina baru-baru ini, dalam majlis yang berlangsung di surau tersebut, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi Majlis Penyerahan Surau Baru Pangkalan Tentera Udara Rimba itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar Pertahanan dan Pembangunan), di Kementerian Pertahanan, Awang Abu Sufian bin Haji Ali, dan Timbalan Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Kolonel (U) Haji Hamsani bin Haji Abdul Hamid.

Turut hadir ialah Pengarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja (JPPK), Hajah Marliyana binti Haji Abdullah Fung, para pegawai dan kakitangan JPPK dan TUDB.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Guru Ugama TUDB, Haji Othman bin Mohd Noor, diikuti dengan penyerahan kunci daripada kontraktor Noracon Sdn Bhd kepada Pengarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja yang seterusnya menyampaikannya kepada tetamu kehormat.

Kemudiannya, tetamu kehormat menyerahkan kunci tersebut kepada Timbalan Pemerintah TUDB.

Tetamu Kehormat ketika menerima replika kunci daripada Pengarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja.
Tetamu Kehormat ketika menerima replika kunci daripada Pengarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja.

Selepas penyerahan kunci berkenaan, para tetamu dibawa melawat ke sekitar surau baru berkenaan.

Surau tersebut merupakan projek yang dilaksanakan oleh Jabatanarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja bagi anggota di Pangkalan Tentera Udara agar mereka dapat beribadah dan bersolat berjemaah. Selain itu, ia juga dibuka untuk digunakan oleh orang ramai dengan melalui prosedur keselamatan yang betul.

Surau baru Pangkalan Tentera Udara Rimba ini meliputi kawasan seluas kira-kira 778 meter persegi dan mempunyai kapasiti penuh untuk 600 orang, manakala itu, bentuk bangunannya telah direka mengikut konsep moden Islam.

Kemudahan yang terdapat di surau ini termasuk pejabat imam, pejabat bilal, tandas dan tempat berwuduk lelaki dan perempuan, tempat sembahyang wanita, bilik jenazah dan dewan sembahyang utama.

Kawasan tempat letak kenderaan di perkarangan surau itu boleh memuatkan 34 kereta.

Kontraktor utama bagi projek surau ini ialah Noracon Sdn Bhd; arkitek, juruukur bahan, mekanikal dan elektrik oleh Bahagian Pembangunan Projek, Jabatanarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja, Kementerian Pertahanan; manakala itu, perunding sivil dan struktur oleh Associated Consultants Sdn Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA